Rohingya dan ikan bandaraya

Isu Rohingya boleh diibaratkan seperti kisah ikan bandaraya.
Isu Rohingya boleh diibaratkan seperti kisah ikan bandaraya.
A
A
A

KETIKA sedang minum di Kedai Kak Mah, saya bertanya kepada seorang rakan, Jepp mengenai isu Rohingya yang sedang hangat diperkatakan.

Kata Jepp, isu Rohingya boleh diibaratkan seperti kisah ikan bandaraya. Pada awalnya, ikan itu dibawa masuk dengan tujuan yang baik iaitu membersihkan akuarium daripada lumut dan kotoran. Ramai yang melihat kehadiran ikan ini sebagai sesuatu yang bermanfaat dan tidak mendatangkan masalah.

Namun katanya, apabila ikan bandaraya dilepaskan ke sungai dan tanpa kawalan, ia mula membiak dengan cepat sehingga mengganggu ekosistem sedia ada.

Spesies tempatan terjejas, keseimbangan sungai berubah dan akhirnya pihak berkuasa terpaksa menghabiskan masa serta sumber untuk mengawal populasi.

"Begitu juga dengan isu Rohingya. Pada mulanya, ramai rakyat Malaysia menggesa kerajaan membuka ruang atas dasar kemanusiaan bagi membantu mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan.

Tetapi apabila kehadiran mereka berlarutan tanpa dasar yang jelas, tanpa kawalan yang berkesan dan tanpa penyelesaian jangka panjang, pelbagai isu mula timbul sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat," katanya.

Saya bersetuju dengan analogi yang Jepp berikan itu. Masalah bukan semestinya berpunca daripada niat asal untuk membantu. Masalah timbul apabila sesuatu yang sepatutnya diurus secara terancang dibiarkan berkembang tanpa kawalan.

Seperti ikan bandaraya yang tidak sepatutnya dilepaskan ke sungai, isu pelarian juga memerlukan dasar yang jelas, penguatkuasaan yang tegas dan perancangan yang teliti agar niat baik tidak akhirnya membawa kesan yang tidak diingini.

Sudah tentu majoriti rakyat di negara kita yang aman damai ini - kecuali isu politik yang sentiasa panas - menyifatkan isu Rohingya sebagai satu masalah berlarutan yang memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai aduan dibangkitkan oleh masyarakat berhubung kewujudan penempatan haram, persaingan ekonomi, isu keselamatan serta tekanan terhadap kemudahan awam yang didakwa berpunca daripada peningkatan jumlah pelarian dan pendatang tanpa dokumen membabitkan etnik Rohingya.

Kasihan yang pernah melimpah suatu ketika dahulu semakin terhakis apabila rakyat berdepan pelbagai isu di lapangan. Apa yang pada mulanya dianggap isu kemanusiaan kini mengundang kemarahan sehingga wujud kempen untuk mengusir mereka.

Yang dulunya dianiaya, dizalimi kini sudah ibaratkan seperti anjing tersepit yang dilepaskan. Di media sosial, semakin ramai yang mendesak agar kerajaan mengambil tindakan lebih tegas.

Ada yang mempersoalkan mengapa isu tersebut dibiarkan berlarutan sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi di peringkat komuniti setempat.

Pemerhati sosial berpendapat perubahan persepsi ini berlaku apabila isu kemanusiaan yang pada asalnya dilihat dari jauh kini memberi kesan secara langsung kepada kehidupan harian rakyat.

“Masyarakat mudah bersimpati apabila melihat penderitaan dari jauh. Tetapi apabila timbul isu berkaitan ruang hidup, peluang pekerjaan, keselamatan dan kemudahan awam, sentimen boleh berubah dengan cepat,” kata seorang penganalisis.

Saya juga bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Isu ini tidak semudah disangka.

Kita tak boleh semberono buat keputusan sebab isu ini membabitkan soal kemanusiaan, keselamatan dan juga tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada masyarakat dunia.

Benar, dalam isu Rohingya ini kita kena urus dengan cara bijak dan berhemah tetapi jangan sampai jadi seperti ikan bandaraya yang kini menguasai sungai-sungai kita!

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!