Lelaki bawa syabu 1.004kg ditahan polis

Ismadi (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan barang yang dirampas dalam serbuan kelmarin
A
A

SERDANG - Seorang lelaki bersama rakannya ditahan polis dalam serbuan selepas disyaki membawa syabu seberat 1.004 kilogram (kg) di perkarangan sebuah hotel di Taman Equine di sini kelmarin.

Dalam serbuan sekitar jam 8.30 malam itu, lelaki lingkungan 30an hingga 40an itu baru sahaja keluar dari kenderaan mereka yang diparkir berhampiran hotel terbabit.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, ketika serbuan salah seorang suspek membawa beg berisi dadah berkenaan.

Menurutnya, jumlah harga pasaran dadah yang dirampas sekitar RM150,000 hingga RM200,000.

"Turut disita sebuah kereta Produa Alza dan teksi jenis Proton Saga BLM yang di sewa dan dipercayai ada kaitan dengan kegiatan jenayah ini.

"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati punca bekalan dadah itu diperoleh di kawasan sekitar Selangor, dan juga untuk dipasarkan pada penagih di negeri ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Ismadi berkata, hasil ujian air kencing saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Isnin depan. Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup," katanya.

Ismadi menambah, susulan tangkapan itu polis menggerakkan satu lagi operasi dan berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Universiti di sini lebih kurang jam 4.30 petang semalam.

"Suspek ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

"Suspek kini ditahan lebih kurang 60 hari bagi melengkapkan siasatan polis dan pihak Kementerian Dalam Negeri.

"Turut disita dari suspek sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson," katanya.

Ismadi menambah, dengan tertangkapnya tiga suspek ini, polis percaya dapat merencatkan kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

"Polis percaya, suspek telah aktif dengan kegiatan jenayah ini lebih satu tahun setengah," katanya.

Kejayaan tangkapan ini susulan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serdang.