Peluang terbaik laksana sistem ekonomi Islam

A
A
A

SHAH ALAM - Kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat pandemik koronavirus (Covid-19) perlu dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk Malaysia mengaplikasi semula pelaksanaan sistem ekonomi Islam sebenar.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch, Kumpulan Raudhah dan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, sistem ekonomi dunia yang diguna pakai ketika ini terbukti banyak kepincangan dengan pakar-pakar ekonomi masih tercari-cari formula baharu untuk menyelaraskan semula sistem ekonomi.

Menurutnya, di sebalik kesan buruk Covid-19, inilah masa terbaik untuk umat manusia mengimplementasikan sistem ekonomi yang betul berpandukan kepada apa yang ALLAH SWT tunjukkan sebelum ini.

“Insya-ALLAH, kita akan menunjukkan idea ekonomi Islam sebenar yang mampu mengambil alih sistem ekonomi dunia yang penuh kepincangan ketika ini.

“Kalau dilihat sistem ekonomi sekarang berasaskan kredit ekonomi di mana orang kaya akan lebih bermasalah kerana mereka lebih banyak menanggung hutang leverage lebih 10 kali ganda berbanding nilai aset mereka.

“Tetapi sistem (ekonomi) Islam tiada macam itu. Sebab itu dikatakan (sahabat Rasulullah SAW) Abdul Rahman Auf, kalau dinilai jumlah kekayaan dimiliki, beliau mungkin bergelar trilionair kerana tidak memiliki sebarang hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri 164 bertajuk Covid-19: Jangan Putus Asa, Malaysia! yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam kelmarin.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis Nabila Huda Suhaimi yang merupakan seorang pelakon dan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadzil berkata, bagi memastikan usaha membentuk sistem ekonomi Islam dapat direalisasikan, rakyat negara ini perlu memastikan amalan bersedekah menjadi satu kebiasaan bagi membolehkan mereka mendapat keberkatan.

“Selain itu, rakyat juga digalakkan untuk melakukan pelaburan strategik dalam syarikat-syarikat berpotensi di mana syarikat itu kemudiannya kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Kenal pasti perniagaan

Tempoh pelaksanaan PKP ketika ini juga adalah waktu paling sesuai kepada usahawan untuk menilai semula bentuk perniagaan yang memberi impak lebih positif sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 berakhir.

Mohd Fadzil mendedahkan, terdapat 20 jenis perniagaan dijangka berpotensi membawa pulangan lumayan untuk direbut golongan itu pada pasca Covid-19.

“Antara jenis perniagaan itu ialah perkhidmatan sanitasi bangunan dan pejabat, bisnes peruncitan komuniti, perkhidmatan penghantaran, produk meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan, industri pelancongan domestik, pembangunan laman sesawang, pengurusan tadika dan sebahagian besar sektor berasaskan sekuriti makanan.

“Sebenarnya ada beberapa lagi jenis perniagaan berpotensi besar untuk direbut usahawan pada pasca Covid-19, namun saya fikir penyenaraian beberapa bidang di atas sudah memberi peluang cukup luas kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, usahawan tempatan juga boleh mempertimbangkan pelaksanaan jenis perniagaan menyediakan bekalan makanan asas serta peralatan kesihatan seperti topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman pada masa hadapan.

“Bagi saya, usahawan kena lihat tempoh ini sebagai ruang membaiki semula asas perniagaan serta menyelaraskan kembali strategi perniagaan masing-masing untuk menghadapi pasca Covid-19.

“Paling penting, semua usahawan negara ini perlu ada pemikiran positif dan jangan mudah berputus asa,” katanya.