Bilangan discaj melebihi kes baharu tiga hari berturut-turut

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan bilangan kes discaj melebihi kes baharu tiga hari berturut-turut sejak Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 222 kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini manakala kes positif baharu 118 kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak berkenaan 4,346 kes.

"Jumlah kumulatif kes pulih adalah 1,830 kes iaitu 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 69 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, 40 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, terdapat tiga kes kematian direkodkan.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 70 kes iaitu 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-68 merupakan kes positif ke-694 yang melibatkan lelaki berusia 62 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis.

Artikel Berkaitan:

"Dia mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Sri Petaling iaitu kes ke-159.

"Pesakit dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia 8.21 pagi tadi," katanya.

Bagi kes kematian ke 69 iaitu pesakit ke-4229 melibatkan lelaki berumur 77 tahun dan juga mempunyai penyakit kencing manis.

"Dia telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 dan disahkan meninggal dunia 4 pagi tadi.

"Kes kematian ke 70 melibatkan warga emas berusia 88 tahun.

"Pesakit perempuan kes ke-4230 itu juga mempunyai penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia.

"Dia mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1684," katanya.

Menurutnya, pesakit tersebut telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia jam 2.38 pagi tadi.

"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka," katanya.