Islam sebagai agama Persekutuan, institusi raja-raja Melayu terus dipertahankan

SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) secara konsisten mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi raja-raja Melayu serta kedaulatan Perlembagaan Persekutuan susulan wujud usaha untuk mencabar asas pembentukan negara.
Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, pihaknya memandang serius perkembangan semasa yang menyaksikan semakin banyak pihak berani mempersoalkan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan dan kontrak sosial negara.
“Perkasa menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu perkara yang boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
“Kedudukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan serta martabat institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan ketua agama Islam perlu terus dihormati dan dipelihara oleh semua pihak.
“Ia merupakan salah satu tiang utama yang membentuk identiti negara ini sejak sebelum kemerdekaan lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Borhan berkata, beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan keharmonian kaum, kestabilan negara dan asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui bersama.
Jelasnya lagi, pihaknya menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang tindakan, kenyataan atau gerakan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan merendahkan martabat institusi raja-raja Melayu.
“Ia mempunyai kedudukan istimewa sebagai payung negara dan ketua agama Islam di negeri-negeri serta di peringkat Persekutuan yang wajib dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.
“Kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan ketegangan kaum, merosakkan keharmonian nasional atau menghakis asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Sehubungan dengan itu pihaknya menyeru orang Melayu dan umat Islam memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan penguasaan dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi dan kepimpinan bagi memastikan daya saing bangsa terus diperkasa.
“Masa depan sesuatu bangsa tidak ditentukan semata-mata oleh retorik politik, tetapi oleh kekuatan ilmu, integriti, daya saing dan kesatuan umat.
“Perkasa menolak budaya kebencian, permusuhan dan tuduh-menuduh tanpa bukti. Sebaliknya, kita mesti berpegang kepada prinsip keadilan, hikmah dan kesederhanaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
“Sebarang perbezaan pandangan hendaklah ditangani melalui saluran yang sah, beradab dan berlandaskan undang-undang,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
