Cabaran pengurusan masa kini sebagai peluang pembentukan institusi berkualiti

SETIAP waktu dan tahun yang menjelang, semua individu tidak terlepas lari dengan cabaran dan mehnah yang harus dihadapi demi membawa satu harapan dan matlamat yang ditetapkan. Kesemua matlamat dan objektif yang dirancang baru perlu dijajarkan dengan pencapaian dan sasaran tahun sebelumnya. Menerusi perubahan pasaran, teknologi pendigitalan, kekangan kewangan dan kehendak pelanggan masa kini telah menuntut gerakan segera dan pendekatan yang proaktif untuk mengekalkan serta meningkatkan mutu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Antara cabaran pengurusan yang sering dihadapi oleh organisasi pada sepanjang tahun adalah seperti budaya pengurusan kualiti yang lemah, dianggap tidak penting seperti tiada sokongan pihak pengurusan atasan dan komunikasi yang kurang jelas, maka impaknya inisiatif kualiti sukar untuk berkembang. Oleh itu, cabaran-cabaran tersebut perlu dilihat dengan teliti dan dianalisa sebaiknya agar kesemua isu berkenaan dapat diselesaikan dengan berkesan. Bagi melahirkan Baldatun Thoyyibah iaiatu negara bertamadun yang baik serta berpenghuni modal insan yang berkualiti dalam negara, maka satu perancangan yang holistik perlu dirangka dari awal lagi agar ia tercapai sebaiknya.
Sebagai contohnya, perancangan pendidikan pada peringkat sekolah dan pendidikan tinggi seperti yang telah diluncurkan pada 20 Januari 2026 yang lalu. Satu perancangan besar tersebut dikenali sebagai ‘Rancangan Pendidikan Negara’ yang meliputi dua dasar utama pendidikan iaitu Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) bagi tahun 2026 sehingga 2035. Kedua-dua dasar ini amat penting dalam memastikan modal insan negara dikeluarkan adalah cemerlang dan hala tuju negara yang bertonggakkan keadilan pendidikan anak-anak bangsa. Dengan wujudnya dasar-dasar ini, maka pihak sekolah sehingga ke peringkat menara gading terus memfokuskan kepada inisiatif-inisiatif yang ditetapkan dalam buku perancangan itu bagi digerakkan segera oleh pihak terbabit agar KPI tertentu mampu dilaksanakan dengan tertib.
Sebagai contohnya, berdasarkan buku ringkasan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) selama sepuluh tahun bermula dari tahun 2026 hingga 2035, ia telah mengemukakan sebanyak 10 lonjakan utama dengan pelbagai inisiatif yang perlu diaplikasikan oleh semua warga pendidik sama ada di KPT, Universiti Awam atau swasta, Politeknik, Kolej Komuniti, Matrikulasi dan seumpamanya dalam negara.
Lonjakan-lonjakan tersebut meliputi:
(1) Lonjakan Pertama - Pembelajar Berpaksikan Kemanusiaan, Berciri Keusahawanan dan Adaptif.
(2) Lonjakan Kedua - Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat.
(3) Lonjakan Ketiga - Kompetensi TVET Termaju.
(4) Lonjakan Keempat - Kemampanan Kewangan.
(5) Lonjakan Kelima - Tadbir Urus Tangkas dan Berdaya Tahan.
(6) Lonjakan Keenam - Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (R.D.I.C.E) yang Bertanggungjawab.
(7) Lonjakan Ketujuh - Keunggulan Global.
(8) Lonjakan Kelapan - Kemampanan Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
(9) Lonjakan Kesembilan - Kemampanan dan Kesihatan Bumi
(10) Lonjakan Kesepuluh - Penyampaian Responsif dan Dinamik
Kesemua lonjakan ini perlu dihadam oleh semua warga Murabbi bagi memastikan anak bangsanya pada masa hadapan adalah tenaga kerja yang berprestasi tinggi, berilmu pengetahuan, berkemahiran luas, mempunyai jati diri dan akhlak terpuji yang akal budinya berakar pasak di bumi serta berakidah Tauhid yang kukuh, tidak mudah digoyah dengan cabaran dan tipuan suara Iblis.
Seterusnya, antara cabaran lain yang harus dihadapi oleh warga pendidik dan Murabbi pada masa hadapan dalam mendidik para pelajar kini adalah membentuk jiwa generasi muda ke arah menjadi manusia sebagai Karamah Insaniah yang meliputi Dimensi Insaniah atau Dimensi Manusiawi. Bagi melahirkan manusiawi yang mempunyai nilai insaniyah, maka para pendidik dan Murabbi harus jelas peranan dan tanggungjawabnya terlebih dahulu. Konsep ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ yang pernah diperkenalkan dalam negara satu masa dahulu harus diulang siar. Pendekatan seseorang pemimpin atau pihak berautoriti dalam bertindak mampu menunjukkan perilaku, nilai murni, dan etika kerja yang cemerlang agar dicontohi oleh pengikut atau masyarakat. Hal ini bertujuan meningkatkan produktiviti, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan warga.
Rentetan daripada isu dan cabaran tersebut, maka harus ada langkah-langkah yang konkrit bagi mengatasinya dengan teliti semoga ia tidak berulang menjadi satu bebanan kepada negara. Langkah yang berstrategik, tersusun dan berstruktur perlu dijajarkan oleh semua instutusi pendidikan dalam negara agar berupaya melonjakkan prestasi pendidikan pada tahun-tahun seterusnya.
Langkah-langkah yang boleh diatasi pada semua peringkat agar pengurusan organisasi berjalan dengan sempurna dan berkualiti, antaranya:
Pemantauan standard dokumentasi secara berterusan:
Pihak organisasi harus mengemas kini setiap dokumentasi yang melibatkan program-program kualiti, seterusnya setiap organisasi perlu menjalankan audit kendiri atau dalaman secara berkala, dan ia juga perlu melibatkan penasihat atau pengurus kualiti bagi memastikan segala pematuhan diikuti.
Amalan dan budaya kualiti:
Di samping itu, pihak pengurusan organisasi harus menggalakkan kepimpinan ntuk membudayakan kerja secara berkualiti sebagai contoh dan teladan kepada pihak lain, serta meningkatkan aspek komunikasi terbuka tentang isu-isu kualiti. Budaya murni ini perlu digerakkan oleh semua peringkat lapisan warga agar peningkatan berterusan dalam institusi sentiasa diamalkan.
Selain itu, pengurus kualiti perlu bersifat adaptif, berstrategik dan berorientasikan data yang tepat. Tambahan lagi, mereka perlu menggabungkan antara fokus pelanggan, teknologi baharu yang tepat penggunaannya, rantaian bekalan yang kukuh, dan pembangunan budaya kualiti yang berterusan. Kesemua itu adalah kunci utama untuk memantau setiap cabaran demi ke arah mencapai peningkatan mutu yang mampan.
Peningkatan jaminan kualiti institusi:
Untuk meningkatkan lagi sistem pengurusan kualiti dalam sesebuah organisasi pendidikan, maka pematuhan piawaian akreditasi sebagai contohnya, audit dalaman pihak ketiga dan amalan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) seperti piawaian ISO 9001 turut menjadi tumpuan dalam sesebuah institusi. Oleh itu, pemimpin organisasi perlu menyokong segala sasaran dan hala tuju perancangan yang dirangka seperti RPTM tersebut untuk mencapai sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, dan disanjung tinggi pada peringkat antarabangsa.
Secara tuntasnya, perancangan dan tindakan awal yang bermula apabila dirangka dengan sempurna menerusi gabungan para pakar dan ahli-ahlinya, maka sesuatu hasrat dan cita-cita tahun baharu ini akan pasti melahirkan modal insan atau graduan yang berkemahiran tinggi dan mampu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan bagi memenuhi keperluan industri pada masa akan datang. Apabila anak-anak kita mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi dengan disulami oleh nilai teras kemanusiaan, pasti bakat negara tidak tersia-sia dan tidak akan terbabas dari kebejatan sosial yang sentiasa mencurigai kita. Menerusi satu kompas perancangan strategik ini khususnya bagi pendidikan sempurna yang bermula peringkat pra sekolah lagi sehinggalah ke menara gading, maka para graduan yang dilahirkan sehingga tahun 2035 adalah individu yang mampu memimpin setiap perubahan dalam ekosistem pekerjaan baharu dan budaya inovasi yang gemilang.
*Prof Dr Hasan Al-Banna Mohammed ialah Penolong Naib Cansleor (Pengurusan Data dan Kualiti), merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
