X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 1.2 juta orang hilang pekerjaan di Indonesia

Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah -Foto Sumber Internet
A
A

JAKARTA - Lebih 1.2 juta orang hilang pekerjaan di Indonesia susulan impak ekonomi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah.

Memetik kenyataannya di media tempatan hari ini, Ida Fauziyah berkata, statistik itu berdasarkan kemaskini kementeriannya kelmarin, selepas 39,377 syarikat atau perusahaan terpaksa memberhentikan pekerja mereka atau 'dirumahkan' (cuti tanpa gaji) akibat kerugian atau kegagalan beroperasi.

Sejak kes kematian akibat Covid-19 pertama dicatatkan pada 11 Mac lepas, aktiviti ekonomi di Indonesia semakin merudum susulan langkah kawalan dalam menangani pandemik itu.

Sejak 16 Mac, kerajaan Indonesia mengambil pendekatan secara berperingkat seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, tempat hiburan, larangan kemasukan pelancong luar dan pelaksanaan pembatasan sosial berskala besar.

Wabak Covid-19 juga memberi kesan buruk kepada golongan berpendapatan harian seperti peniaga makanan, hampir dua juta pemandu perkhidmatan seru-pandu (e-hailing) dan golongan pekerja bawahan yang kini menghadapi kesukaran mencari pendapatan.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Retno Marsudi berkata, rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara juga kini semakin ramai kembali ke tanah air, antaranya akibat kehilangan pekerjaan.

"Rakyat Indonesia yang pulang dari Malaysia sahaja sejak 18 Mac hingga 8 April lalu adalah seramai 40,429 orang," katanya

Menteri Kewangan, Sri Mulyani dilaporkan berkata, mata wang rupiah juga kini mengalami kejatuhan teruk berbanding krisis ekonomi 1998, dan dibimbangi menjunam kepada Rp20,000 per satu dolar Amerika Syarikat (AS$).

Tukaran mata wang rupiah ketika ini adalah Rp17,500 per satu dolar AS dan ketika krisis ekonomi 1998, nilai terendah rupiah direkodkan pada Rp16,950 per satu dolar AS.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam siaran secara langsung di televisyen tempatan hari ini, mengumumkan pelbagai insentif kepada golongan miskin antaranya bantuan kewangan berjumlah Rp600,000 (RM163.60) sebulan selama tiga bulan, bantuan kad sembako (kad keperluan barangan asas) bernilai Rp200,000 (RM54.53) setiap bulan selama sembilan bulan kepada 20 juta ketua keluarga yang layak. - Bernama

-


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus