X

Kindly register in order to view this article
!

Zakat fitrah Pulau Pinang RM7, RM16

Ahmad Zakiyuddin (tengah) dan Amran (kanan) menunjukkan kadar zakat fitrah yang ditetapkan tahun ini untuk Pulau Pinang.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua kadar bayaran zakat fitrah ditetapkan di Pulau Pinang iaitu RM7 dan RM16 seorang bagi tahun 2020.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, dua kadar bayaran zakat itu ditetapkan bagi memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini yang mempunyai kelebihan dari segi kemampuan membayar zakat fitrah lebih tinggi.

Bagaimanapun, MAINPP juga sedar dalam keadaan penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini menyebabkan ada golongan yang terkesan dan terjejas kemampuan terutamanya mereka yang mempunyai tanggungan ramai.

Katanya, mereka boleh membayar zakat fitrah mengikut kemampuan bilangan tanggungan dengan kadar RM7 seorang.

"Sebagai contoh, sekiranya seorang ketua keluarga mempunyai tujuh orang tanggungan di bawahnya, tetapi keadaan ekonomi keluarga semasa menyukarkan beliau untuk membayar sebanyak RM56, maka dia boleh mengutamakan beberapa orang tanggungan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP), Bandar Perda di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Amran (kanan) menunjukkan cara penggunaan bayaran secara online.
Amran (kanan) menunjukkan cara penggunaan bayaran secara online.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi ZPP berkata, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga Ramadan, pihaknya menggalakkan orang ramai menunaikan zakat melalui kaedah online seperti Snap N Pay, JomPay dan beberapa kaedah digital lain yang akan diumumkan kelak.

Katanya, ZPP masih tetap meraikan kaedah pembayaran secara konvensional (pembayaran zakat kepada amil dilantik), namun ia akan dilakukan dengan beberapa pengubahsuaian sesuai selain akan mengamalkan penjarakan sosial seperti yang disarankan kerajaan.

"Kita akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari satu tatacara atau prosedur sesuai untuk dijadikan panduan bagi menjamin keselamatan amil dan pembayar zakat.

"Kita juga akan dapatkan juga pandangan daripada KKM mengenai tempat yang sesuai untuk adakan kutipan zakat sekiranya tempoh PKP dilanjutkan nanti," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, seramai 1,755 orang amil di 239 kariah dilantik untuk membuat kutipan zakat dan orang ramai diingatkan supaya membayar zakat kepada amil yang sah dilantik oleh MAINPP.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!