Selangor beri pengecualian bayar sewa PPR April

Gambar kecil:Haniza Mohamed Talha
Gambar kecil:Haniza Mohamed Talha
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulan April melibatkan semua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pengurusan pentadbiran negeri ini dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, selain itu, penangguhan bayaran sewa selama dua bulan turut diberikan bagi bulan Mei dan Jun di semua PPR terlibat dengan kos sebanyak RM1.124 juta.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima sebelum ini, pihaknya mendapati ada di antara penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa faktor susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Sehubungan itu, atas keprihatinan terhadap masalah rakyat, kerajaan Selangor memutuskan untuk melaksanakan dua inisiatif tersebut kepada penghuni PPR di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP sehingga 14 April ini dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Difahamkan, pelaksanaan ini telah menjejaskan kehidupan seharian rakyat termasuklah 2,632 unit penyewa PPR di bawah pengurusan kerajaan Selangor.

PPR terlibat adalah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi yang terdiri daripada keluarga golongan B40.

Dalam pada itu, Haniza berkata, kerajaan Selangor berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung oleh semua penyewa terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga menyeru agar semua rakyat mematuhi arahan PKP dan seterusnya kehidupan kita dapat kembali seperti sediakala selepas ini," katanya.