Lima laluan utama di Petaling Jaya ditutup bermula Jumaat

Anggota tentera membantu anggota polis pada sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua. - Foto Bernama
Anggota tentera membantu anggota polis pada sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lima laluan utama di Petaling Jaya akan ditutup bermula jam 12 tengah malam pada Jumaat ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam satu kenyataan hari ini lima laluan terlibat ialah:

- Susur masuk Penchala Link arah Damansara ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana

- Susur masuk Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana

- Susur masuk LDP ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara

- Susur keluar ke Jalan PJU 7/8

- Lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana susur masuk ke Penchala Link atau Kepong

Bagaimanapun, Nik Ezanee berkata, orang awam boleh keluar dari kawasan Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara dengan menggunakan laluan alternatif dari Damansara Perdana ke Penchala Link dengan menggunakan Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara.

Artikel Berkaitan:

"Sementara dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian pula mereka boleh melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara," katanya.

Beliau berkata, walaupun laluan berkenaan ditutup selama 24 jam sehari tetapi masih boleh dilalui kenderaan ambulans, bomba, polis dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Mengulas lanjut, katanya, polis turut akan menambah satu lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) iaitu di PJU 7/1 Mutiara Damansara di kedua-dua arah, bermula pada waktu sama.

“Pihak polis sebelum ini melaksanakan dua SJR di Kilometer 0.3 Lebuhraya SPRINT menghala ke Plaza Tol Damansara dan satu lagi di Persiaran Surian Pelangi Damansara di kedua-dua arah,” katanya.

Nik Ezanee turut menasihatkan orang awam supaya mematuhi PKP sepenuhnya seiring usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).