X

Kindly register in order to view this article
!

Hamba ALLAH wakaf, infaq al-Quran RM135,000

Muhammad Nasir (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan 160 wakaf al-Quran mewakili WUIF kepada Rohana.
A
A

SHAH ALAM - Program Wakaf Quran Mu'jam digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak Jumaat lalu terus mendapat sambutan menggalakkan rakyat Malaysia setelah mengumpulkan 13,838 naskhah setakat hari ini.

Lebih membanggakan, terdapat dua hamba ALLAH prihatin menyumbang secara wakaf serta menginfaqkan al-Quran dengan keseluruhan RM135,000 bersamaan dengan 3,275 naskhah.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusof berkata, penyerahan wakaf al-Quran di setiap hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin penyakit koronavirus (Covid-19) seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seluruh negara dilaksanakan setiap hari dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,440 naskhah berjaya diagihkan.

Menurutnya, sejumlah 1,000 naskhah al-Quran wakaf diagihkan kepada empat premis penting iaitu Hospital Serdang, Selangor; Jakim; Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan.

"Dalam program pengagihan bermula jam 9 pagi tadi, kita mengagihkan 600 naskhah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Hospital Tuanku Jaafar (200 naskhah), Hospital Serdang (160 naskhah) dan Jakim untuk disalurkan kepada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) sebanyak 40 naskhah.

"WUIF bertanggungjawab menguruskan semua hasil sumbangan wakaf rakyat selepas hebahan program ini melalui pelbagai platform rakan senegeri termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji di seluruh negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Marhaini Yusof
Marhaini Yusof

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah mewakili WUIF menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran sebanyak 160 naskhah kepada Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan di pekarangan lobi utama hospital itu pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Unit Penyelia Hospital Serdang, Jamaludin Ismail dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hashim Anang.

Marhaini berkata, kesudian dua hamba ALLAH menyumbang serta menginfaqkan al-Quran dengan masing-masing berjumlah 778 naskhah (RM35,000) dan 2,500 naskhah (RM100,000) turut memberi petanda positif Projek Wakaf Quran Mu'jam semakin mencapai sasaran pengagihan 15,000 naskhah.

Katanya, sumbangan itu sangat bermakna untuk memberikan sokongan emosi dan spiritual kepada semua petugas barisan hadapan dengan menjadikan #QuranCorner sebagai ruang Rehat & Rawat.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff mewakili pihak Pusat Kuarantin Covid-19 di IKMAS, Sarawak dan ILIM, Besut menerima 40 naskhah wakaf al-Quran daripada pihak WUIF hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff mewakili pihak Pusat Kuarantin Covid-19 di IKMAS, Sarawak dan ILIM, Besut menerima 40 naskhah wakaf al-Quran daripada pihak WUIF hari ini.

"Sumbangan al-Quran Wakaf adalah untuk kegunaan di #QuranCorner lokasi terbabit dan sumbangan al-Quran Infak pula adalah sebagai kegunaan individu semua petugas barisan hadapan.

"Kami juga menerima banyak permintaan daripada polis, tentera dan petugas selain hospital untuk menjadikan al-Quran sebagai peneman ketika mereka bertugas," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.iy/wakafquranhospital.

Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus