X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis Setiausaha PH cadang kerajaan beri kelonggaran PKP zon hijau

Fahmi Fadzil dan Anthony Loke
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut zon status jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) dikategorikan sebagai zon hijau bagi membolehkan rakyat kembali menjalankan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan seperti biasa.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu diutarakan susulan usaha keras kerajaan melandaikan lekuk epidemik dengan kaedah pelaksanaan PKP untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 mula menampakkan kejayaan.

Menurutnya, adalah wajar bagi kerajaan menimbangkan pendekatan mengembalikan suasana kehidupan rakyat di mana sebahagian aktiviti ekonomi boleh dibenarkan untuk membantu memulihkan ekonomi serta pendapatan rakyat.

"Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai cukup data dan statistik serta pemetaan taburan kes positif Covid-19 mengikut mukim, daerah serta lokaliti.

"Ada daerah atau lokaliti yang memang tidak terkesan dengan jangkitan Covid-19 sejak dari awal epidemik ini bermula yang dikategorikan zon hijau.

"Sekiranya PKP diteruskan selepas 14 April, beban ekonomi khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kumpulan B40 terutama berada dalam zon hijau diyakini dapat dibantu berdasarkan beberapa kaedah seiring dengan keputusan melonggarkan PKP itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Majlis Setiausaha PH itu dikemukakan bersama oleh Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dan Setiusaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Majlis Setiausaha PH berkata, langkah awal boleh dilakukan kerajaan ke arah pelonggaran PKP di kawasan zon hijau adalah seperti mengisytiharkan zon hijau Covid-19 mengikut kedudukan terkini jangkitan, mengikut daerah atau mukim terlebih dahulu.

Menurutnya, langkah seterusnya adalah penduduk di zon hijau ini dibenarkan menjalankan aktiviti ekonomi seperti membuka gerai makanan, pasar tani, bengkel kereta dan sebagainya, tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan KKM.

"Bagaimanapun, pihak kami bersetuju kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke zon hijau dikekalkan oleh pasukan keselamatan selain garis panduan KKM berkaitan urusan penjarakkan sosial, kebersihan diri, pemakaian topeng muka serta larangan majlis keramaian atau perhimpunan awam dikekalkan.

"Majlis Setiausaha berpandangan langkah-langkah di atas akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Majlis Setiausaha PH turut menyifatkan jumlah katil hospital untuk pesakit Covid-19 serta kemudahan unit rawatan rapi (ICU) termasuk jumlah alat bantuan pernafasan berada pada tahap memuaskan.

"Kadar penyembuhan pula dilaporkan tinggi iaitu 33 peratus manakala jumlah kematian setakat hari ini ialah 63 atau 1.6 peratus dari jumlah kes positif," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!