Rempuh anggota polis trafik: Pencuci kereta direman lima hari

IPOH - Seorang pencuci kereta direman lima hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes anggota polis trafik dirempuh sebuah kereta yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Silibin pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret di sini selepas menerima permohonan daripada polis bagi siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, Lans Koperal Muhammad Badrul Izwany Pauzi 29 yang mengalami kecederaan parah selepas dirempuh, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sunway Medical Centre Ipoh.
Beliau berkata, anggota berkenaan mengalami kecederaan patah tangan kiri dan kaki kanan, menjalani pembedahan di hospital berkenaan semalam (Jumaat).
"Anggota berkenaan kini ditidurkan selepas menjalani pembedahan selama tujuh jam sehingga 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi Khamis, anggota trafik itu dirempuh sebuah kereta yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Silibin.
Siasatan lanjut, mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan tamat, tempoh selain ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
