Kerajaan pertimbang kelonggaran pergerakan di kawasan zon hijau

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kelonggaran pergerakan di kawasan yang dikategorikan bebas positif wabak koronavirus (Covid-19) atau zon hijau mungkin akan diperkenalkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu selepas fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 14 April nanti.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu antara perkara yang sedang diperhalusi oleh kerajaan ketika ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, perkara itu hanya akan dibuat selepas SOP baharu dibentangkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Khamis ini.

“MKN dan KDN akan mengeluarkan satu SOP baharu berdasarkan zon tertentu seperti zon Putrajaya sudah menjadi kawasan yang dianggap zon merah, jadi selain zon merah, tentu ada zon hijau misalnya kawasan yang ada kosong (positif Covid-19).

“Jadi kita sedang meneliti SOP yang akan kita perkenalkan. Mungkin ada sedikit kelonggaran. Mungkin ya, tetapi saya tidak kata perkara ini sudah diputuskan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan bersedia untuk memberi kelonggaran pergerakan di kawasan yang dikenal pasti bebas wabak itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan melalui MKN dan KDN perlu memperhalusi setiap perkara dengan sebaiknya sebelum sesuatu keputusan diambil bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini berjaya.

“Kita tidak mahu mengulangi apa yang berlaku di luar negara seperti di Hong Kong, apabila dibuka (hentikan kawalan) tiba-tiba ada kes positif baharu yang menyebabkan mereka menutup kembali negara.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, MKN dan KDN akan memperhalusi semua perkara sebelum SOP baharu dikeluarkan kerana kita mahu apa apa yang kita hadapi selepas 14 hari ini selesai sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya,” katanya.