Tiada bazar Ramadan di Perak jika PKP lanjut

Ahmad Faizal - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
Ahmad Faizal - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mempertimbangkan pelaksanaan bazar Ramadan di negeri itu jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun kaedahnya bukan seperti tradisi yang melibatkan ramai pengunjung.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah paling sesuai bagi membolehkan peniaga meneruskan perniagaan dan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Bagaimanapun kaedah yang akan kita laksanakan itu perlu menepati nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan dengan mementingkan penjarakan sosial bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19," katanya kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan bazar Ramadan itu akan diumumkan selepas kaedah terbaik dimuktamadkan.

Ahmad Faizal berkata, sekiranya tempoh PKP dilanjutkan, tiada sebarang penganjuran bazar Ramadan diadakan di Perak.

Sebelum ini, beberapa negeri telah mengumumkan pembatalan bazar Ramadan termasuk Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada bazar Ramadan sepanjang PKP: Ismail Sabri

Artikel Berkaitan: