Pekerja Malaysia di Singapura wajib kuarantin di rumah

Terdapat rakyat Malaysia pulang dengan berjalan kaki menuju ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar. -Foto Bernama
Terdapat rakyat Malaysia pulang dengan berjalan kaki menuju ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar. -Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang diarahkan pulang selepas kerajaan republik itu mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajib melakukan kuarantin diri di rumah masing-masing.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, mereka juga dilarang untuk keluar rumah jika tiada urusan penting selain mengambil langkah-langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Antaranya kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau pencuci tangan, gunakan penutup mulut dan hidung serta amalkan penjarakkan sosial 1 meter jika ingin berinteraksi dengan keluarga.

"Mereka juga harus pantau kesihatan diri, maklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya mempunyai sebarang gejala seperti batuk, demam dan selesema," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan penyebaran virus tersebut dapat dicegah dan ketika ini Johor masih lagi mencatatkan kes tambahan iaitu 30 kes baharu semalam dan keseluruhannya kini berjumlah 468 kes.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor diberi kuasa di bawah Seksyen 3 dan 18(1)(F) Akta 342 untuk bertindak terhadap syarikat yang menjalankan operasi perniagaan semasa tempoh PKP.

Katanya, antara jenis aduan yang diterima dan disiasat adalah seperti syarikat beroperasi tanpa mendapat surat kebenaran pihak berkuasa dan syarikat bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

Begitu juga katanya, pemberhentian kerja secara tetap atau sukarela, sementara dan pengurangan gaji termasuk syarikat tidak membayar gaji semasa tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menerima aduan syarikat menolak gaji dan cuti tahun selain memaksa mengambil cuti tanpa gaji selain gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu sehingga semalam, 946 aduan melalui panggilan telefon diterima dan sejumlah 36 aduan itu sudah dijalankan siasatan dan empat majikan diberikan notis kerana gagal mematuhi arahan.

"Namun begitu, pihak JTK sedang menjalankan sesi mediasi bagi membantu 19 majikan yang telah mengisi borang permohonan pemberhentian dengan jumlah pekerja seramai 600 orang," katanya.