6,749 rakyat Malaysia terkandas dibawa pulang

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri memaklumkan sehingga jam 6 petang tadi, seramai 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara telah dibawa pulang.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas ini dilakukan menerusi pembiayaan kerajaan, sumbangan parti politik, swasta dan persendirian.

"Bagi perkembangan hari ini dan semalam, seramai 444 rakyat Malaysia yang terkandas telah selamat tiba, iaitu dari India 306 orang, Filipina (65), New Zealand (45), Australia (4) dan Jepun (24).

"Seramai 40 orang, iaitu kumpulan kedua dari New Zealand dijadualkan telah tiba pada jam 7.30 malam tadi.

"Setakat ini, seramai 1,025 orang lagi rakyat Malaysia masih terkandas di 20 buah negara dan pihak kementerian serta perwakilan di luar negara akan terus memainkan peranan membantu membolehkan mereka pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata, pihaknya menerima laporan seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia sedang dikuarantin di India, iaitu 126 orang di New Delhi, manakala 35 orang di luar New Delhi.

Wisma Putra juga katanya, ambil maklum berhubung penahanan oleh pihak berkuasa India terhadap beberapa orang rakyat Malaysia yang sepatutnya menaiki penerbangan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, semalam.

Jelasnya, penahanan itu ekoran daripada keputusan Kerajaan India melaksanakan proses kuarantin ke atas semua rakyat asing yang menyertai tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mengenai situasi rakyat Malaysia di Singapura, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sedang mendapatkan statistik terkini mengenai jumlah pekerja di negara itu.

"Seramai 78 orang rakyat Malaysia terdiri daripada wanita hamil, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak yang terkandas di republik itu telah berjaya dibawa pulang pada 2 April lalu," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan pelajar Malaysia di luar negara iaitu merujuk surat daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Kamarudin berkata, keputusan sama ada perlu membawa pulang atau tidak pelajar USM-KLE perlu dirujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ini selaras sebagaimana kenyataan terbaru KPT pada 3 April lalu bahawa semua pelajar dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

"Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat serta wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan serta kesihatan para pelajar diberi perhatian sewajarnya," katanya.