Pemandu pelancong Pahang lega MB umum bantuan

Mohd Anas (kanan) bersama Mohd Sharkar
Mohd Anas (kanan) bersama Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang lega dengan pengumuman kerajaan negeri mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada ahli persatuan itu selepas pendapatan terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang, Mohamad Anas Zainudin, bagaimanapun berkata, pihaknya belum mengetahui jenis dan kaedah pelaksanaan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, maklumat mengenai pemandu pelancong membabitkan Taman Negara Kuala Tahan, Taman Negara Sungai Relau Merapoh dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah sudah dihantar kepada pejabat Tourism Pahang.

"Bantuan yang bakal kami terima dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pemandu pelancong alam semula jadi yang kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19," katanya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan negeri yang peka dengan kebajikan rakyat dan berharap mendapat kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 dengan duduk di rumah.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Taman Negara Pahang Sungai Relau Merapoh, Khairun Nizam Abdul Rashid, 43, pula berkata, pengumuman kerajaan negeri sememangnya ditunggu pemandu pelancong yang kini kehilangan punca pendapatan.

"Kami belum dimaklumkan mengenai kaedah dan jenis bantuan namun senarai nama dan rekod ahli sudah dikemaskini serta diserahkan kepada presiden.

Beliau berkata terdapat kira-kira 170 pemandu pelancong bernaung di bawah Taman Negara Pahang Sungai Relau Merapoh dan beberapa lagi persatuan pemandu pelancong serta pengusaha bot pelancongan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail minggu lepas membuat pengumuman mengenai bantuan one off sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong di negeri itu.