Cuepacs kesal masyarakat tidak faham tugas penjawat awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak memahami tugas penjawat awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana pihaknya menerima aduan masih terdapat segelintir pihak yang ingkar terhadap PKP antaranya dengan mengeluarkan kata-kata jelek kepada anggota penguat kuasa bertugas, malah ada yang membuat hantaran d media sosial bagi mencabar pihak berkuasa hanya kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa menjalankan tugas.

"Sebagai rakyat tidak kira pangkat, kedudukan atau status, perlu memberi kerjasama baik kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas. Rakyat perlu tahu bahawa petugas kerajaan di barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bertugas 24 jam secara bergilir-gilir untuk memastikan keadaan negara terkawal.

"Ada yang bekerja hampir 24 jam dan terpaksa meninggalkan keluarga untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia. Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Kurangkan provokasi seolah-olah mahu melanggar undang-undang dan mencabar kesabaran petugas barisan hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Cuepacs berharap setiap ketua jabatan yang terlibat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam sahaja.

"Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja penjawat awam. Setiap keputusan dilakukan tidak boleh bertujuan untuk menjaga hati rakyat sedangkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas dengan baik mengikut situasi semasa yang memerlukan.

"Sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini," katanya.

Sehubungan itu, Cuepacs berharap semua pihak berlapang dada dan memberikan kerjasama terbaik kepada semua petugas kerajaan di barisan hadapan ketika ini bagi memastikan negara berjaya menyekat penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Apa jua yang berlaku kita mesti menang agar rutin kehidupan sebelum ini dapat kita jalani seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang bekerja tanpa mengira penat lelah atau jemu dan kepada rakyat yang sentiasa memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan.