X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan insentif cukai untuk membantu PKS

PKS menyumbangkan sebanyak 38.3 peratus kepada KDNK negara pada 2018 dan sebanyak 66.2 peratus kepada jumlah pekerjaan di Malaysia.
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) menjejaskan kita semua.

PKP adalah satu hakikat yang kita semua harus terima sebagai perlu untuk mengekang penyebaran wabak ini. Pergerakan terhad dalam tempoh ini pasti akan memberi impak kepada ekonomi.

Sebanyak 98.5 peratus daripada pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di mana, menurut SME Info, mereka dianggap sebagai tulang belakang ekonomi.

Menurut Jabatan Statistik dan SME Corp, PKS telah menyumbangkan sebanyak 38.3 peratus kepada KDNK negara pada 2018 dan sebanyak 66.2 peratus kepada jumlah pekerjaan di Malaysia.

Kawalan pergerakan yang telah dikuatkuasakan di banyak negara telah mencabar kedudukan ekonomi kita akibat penggantungan operasi perniagaan dan perindustrian.

Di samping memberi kepimpinan yang berwibawa dalam masa yang mencabar ini, Perdana Menteri baru-baru ini telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion.

Secara amnya, Prihatin telah dipuji untuk sifatnya yang berjiwa rakyat, sesuai dengan akronim yang telah diberi. Matlamat kerajaan adalah mulia untuk meringankan beban kewangan rakyat dan meredakan impak ke atas ekonomi.

Di peringkat ekonomi, kerajaan telah memberikan RM100 bilion untuk membantu pelbagai jenis perniagaan termasuk PKS.

Memandangkan PKS masih memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan, salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan adalah beberapa pelepasan cukai khas.

Ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana syarikat dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta atau kurang, membayar cukai korporat yang lebih rendah, salah satu manfaat yang diterima oleh PKS.

Tidak dipertikaikan bahawa PKS mengalu-alukan pelanjutan masa yang diberi untuk pemfailan cukai dan bayaran cukai semasa tempoh MCO.

Langkah-langkah insentif cukai tambahan yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah:

1. Kadar cukai korporat yang lebih rendah atau rebat cukai sebanyak RM250,000 dalam tahun taksiran (TT) 2020 untuk PKS yang tidak memberhentikan pekerja mereka. Rebat cukai boleh diubah suai bergantung pada saiz perolehan dan bilangan pekerja PKS.

2. Potongan dua kali ke atas semua kos pembiayaan seperti faedah, yuran jaminan, yuran pengatur dan lain-lain ke atas pembiayaan yang diperolehi oleh PKS pada tahun 2020 dengan syarat pembiayaan digunakan sepenuhnya sebagai modal kerja untuk perniagaan PKS dan tidak ada pemberhentian pekerja.

3. Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dibelanjakan membeli peralatan untuk memudahkan konsep kerja dari rumah semasa tempoh MCO. Ini termasuk perbelanjaan untuk membeli komputer riba dan langganan aplikasi-aplikasi komunikasi dalam talian.

4. Potongan dua kali ke atas perbelanjaan sewa pejabat, kilang, gudang dan asrama pekerja sekurang-kurangnya enam bulan bermula Mac 2020 atau secara alternatif, rebat cukai khas untuk tuan-tuan tanah yang mengecualikan sewa dalam tempoh sama.

5. Elaun modal dipercepatkan dan elaun bangunan perindustrian bagi PKS yang membelanjakan perbelanjaan modal untuk memperoleh peralatan tambahan dan bangunan dalam TT 2020.

6. Melonggarkan syarat untuk PKS untuk menuntut elaun bagi peningkatan eksport.

7. Kredit cukai yang timbul daripada bayaran berlebihan pada masa lalu boleh digunakan sebagai kredit cukai untuk kewajiban cukai masa depan pada YA 2020.

8. Pengecualian atau pengurangan cukai pegangan dan cukai perkhidmatan ke atas bayaran yang dibuat kepada pihak bukan pemastautin untuk inisiatif promosi perniagaan dalam talian. Ini akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan kerana sesetengah PKS menanggung cukai pegangan dan cukai perkhidmatan bagi pihak bukan pemastautin tersebut.

9. Pengecualian cukai jualan bagi produk-produk yang boleh dikenakan cukai dikeluarkan daripada Mac 2020 hingga akhir tahun.

10. Skim ansuran yang lebih lama dan fleksibel untuk semua jenis pembayaran cukai, termasuk cukai pendapatan dan duti kastam.

11. Penggantungan prosiding guaman sivil atas sebab tidak membayar cukai sehingga 15 Oktober 2020 untuk membolehkan pembayar cukai memberi tumpuan untuk membina semula perniagaan mereka daripada berada di mahkamah terutamanya untuk enam bulan pertama.

12. Penangguhan audit cukai dan siasatan cukai selama enam bulan sehingga penghujung September 2020 untuk membolehkan PKS memberi tumpuan kepada perniagaan mereka. Bagaimanapun, penyiasatan jenayah cukai dan kesalahan kastam boleh diteruskan.

13. Pengecualian duti setem bagi dokumen pembiayaan yang dilaksanakan antara 1 Mac dan 31 Disember 2020.

14. Pengecualian sementara bagi cukai perkhidmatan ke atas PKS yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti industri hospitaliti, makanan dan minuman dan perundingan dengan pendapatan tahunan RM2.5 juta atau kurang pada tahun 2020.

15. Penggantungan sementara cukai jualan ke atas produk yang dikeluarkan di Malaysia pada tahun 2020.

Beberapa cadangan cukai ini dilaksanakan di negara lain. Tambahan pula, cadangan ini diharap dapat membantu PKS dalam menghadapi cabaran akibat penguatkuasaan PKP dan akan menunjukkan empati kerajaan terhadap PKS.

* Nur Amira Ahmad Azhar adalah seorang peguam cukai di firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS).

* Artikel ini diterjemahkan dari versi Bahasa Inggeris berjudul “COVID-19 & MCO: Tax Relief Proposals For SMEs” yang ditulis oleh S Saravana Kumar, peguam cukai dan Yap Wen Hui, seorang pelatih undang-undang cukai di firma RDS.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus