PKP: Barangan bantuan kena kebas pencuri

Barangan bantuan yang disimpan didalam Dewan MPKK Alma dibawa lari pencuri.
Barangan bantuan yang disimpan didalam Dewan MPKK Alma dibawa lari pencuri.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pelbagai barangan bantuan makanan yang disimpan di dalam Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alma di sini hilang dipercayai dicuri.

Perkara itu disedari Pegawai Seranta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok yang ke dewan berkenaan jam 1 petang semalam selepas mendapati pintu dewan berkenaan terdapat kesan umpil.

Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon berkata, pemeriksaan dibuat mendapati 59 kampit beras, 40 tin sardin dan 30 bungkus mi segera telah hilang.

Selain itu, sebanyak 30 bungkus bihun, 10 papan telur, 30 bungkus biskut serta set pendingin hawa yang dipasang di dewan berkenaan turut hilang.

Menurutnya, barangan dan pek makanan yang disimpan dalam dewan itu sepatutnya akan diedarkan kepada keluarga yang memerlukan dan terputus makanan di sekitar kawasan Machang Bubok namun semuanya telah disapu bersih bersih oleh pencuri.

"Memang saya kesal dengan apa yang berlaku kerana di saat semua orang perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ada pihak yang ambil kesempatan dengan melakukan aktiviti jenayah dengan mencuri barangan bantuan.

"Kita memahami ramai terkesan dengan PKP ini namun sekiranya terdesak sangat mereka tidak sepatutnya mencuri, tetapi boleh minta bantuan kepada wakil rakyat atau mana-mana pemimpin di kawasan mereka,"katanya ketika dihubungi di sini.

Khai Loon berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian pihaknya tetap berusaha untuk memastikan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan akan dapat disediakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi menggantikan pelbagai barangan makanan yang hilang, pihaknya telah berjaya mendapatkan 100 pek makanan hari ini untuk disalurkan kepada keluarga memerlukan secepat mungkin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, polis masih mengenal pasti suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.