Skuad hoki dalam dewan gagal pertahan emas

Malaysia tewas kepada Indonesia pada aksi final Sukan SEA 2023 di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, Kemboja. - Foto AFP
Malaysia tewas kepada Indonesia pada aksi final Sukan SEA 2023 di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, Kemboja. - Foto AFP
A
A
A

SO near and yet so far (begitu hampir menggenggam kejayaan, namun...).

Begitulah ungkapan yang boleh digambarkan bagi skuad hoki dalam dewan lelaki negara apabila gagal mempertahankan pingat emas pada aksi final Sukan SEA 2023 di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar di sini, petang Ahad.

Pada satu ketika anak buah Mohd Hanip Che Halim selesa mendahului Indonesia 3-0, namun segalanya berubah ketika permainan berbaki 16 minit, apabila pasukan lawan menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan kepada penentuan pukulan penalti.

Pada aksi penentuan tersebut, Malaysia terpaksa akur apabila gagal menyempurnakan dua percubaan berbanding Indonesia yang hanya melepaskan satu pukulan.

Terdahulu, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang dengan masing-masing saling mengatur gerakan bagi mendapatkan gol pendahuluan.

Selepas beberapa percubaan berbahaya di hadapan gawang Indonesia, skuad negara akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-16 menerusi jaringan Danial Asyraf Abdul Ghani, sebelum Muhammad Firdaus Omar menggandakan jaringan lima minit kemudian.

Jaringan tersebut menaikkan semangat skuad negara apabila Faridzul Afiq Mohd menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-24.

Namun, selepas jaringan tersebut segalanya tidak menjadi buat skuad negara untuk menambah jaringan, sebaliknya pemain Indonesia lebih bersemangat dan mereka berjaya mendapatkan gol pertama menerusi Muhammad Firdaus pada minit ke-37.

Selang dua minit kemudian, giliran Ferdian Rahman pula menjaringkan gol kedua Indonesia sebelum pukulan sudut penalti Revo Priliandro pada minit akhir permainan meranapkan impian Malaysia untuk meraih pingat emas dan perlawanan diheret ke penentuan pukulan penalti.

Ketika aksi mendebarkan itu, Malaysia tumpas 1-2 apabila Izham Azhar dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan gagal menyempurnakan pukulan penalti tersebut.

Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih pingat emas pada edisi 2019 di Filipina selepas menumpaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir. Pada edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, acara berkenaan tidak dipertandingkan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!