'Terima kasih PM, jambatan sudah siap'

Penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan baharu menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu telah siap sepenuhnya. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan baharu menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu telah siap sepenuhnya. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KUALA KRAI - Penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan baharu yang menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu telah siap sepenuhnya.

Jambatan keluli berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar itu mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan dan siap sepenuhnya pada 11 Mac lalu apabila kerja-kerja pembinaan berjaya disiapkan dalam tempoh enam minggu sahaja bermula 29 Januari dengan anggaran kos RM200,000.

Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 54, berkata, mereka di sini sangat gembira dan melahirkan rasa syukur selepas hampir tiga dekad menggunakan titi gantung uzur itu sehingga meninggalkan trauma kepada sesetengah penduduk.

"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami sudah lama mengidamkan jambatan baharu.

"Tidak sangka rezeki ini datang selepas tragedi titi gantung runtuh semasa majlis perkahwinan anak perempuan saya. Lebih menggembirakan lagi apabila masalah ini mendapat perhatian Perdana Menteri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad.

Wan Syukri (kiri) begitu gembira dan teruja berada di atas jambatan keluli berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar itu yang mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan dengan anggaran kos RM200,000.
Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Wan Syukri (kiri) begitu gembira dan teruja berada di atas jambatan keluli berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar itu yang mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan dengan anggaran kos RM200,000. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sebelum itu, majlis perasmian dan penyerahan jambatan baharu telah diadakan serta disempurnakan oleh Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Muhd Rahimi Wan Salleh.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Syukri, jambatan baharu ini adalah hadiah yang sangat bermakna kepada mereka lebih-lebih lagi apabila ia siap sepenuhnya dan dapat digunakan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ujarnya, jambatan itu bukan sahaja lebih selesa dan selamat tetapi turut dilengkapi dengan kemudahan lampu.

Tambahnya, sebelum ini mereka sering dibelenggu ketakutan apabila hendak keluar pada waktu malam kerana keadaan titi gantung yang uzur serta keadaan sekeliling yang gelap.

"Anak cucu kami semua sudah dimaklumkan tentang berita gembira ini dan mereka sudah tidak sabar lagi untuk pulang beraya," katanya.

Majlis perasmian dan penyerahan jambatan baharu telah diadakan serta disempurnakan Wan Nur Ibtisam (tengah) dan Wan Muhd Rahimi (kiri) serta Siti Fairus di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada Ahad.
Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Majlis perasmian dan penyerahan jambatan baharu telah diadakan serta disempurnakan Wan Nur Ibtisam (tengah) dan Wan Muhd Rahimi (kiri) serta Siti Fairus di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada Ahad. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sementara itu, Wan Nur Ibtisam memberitahu, jambatan terbabit akan memberi manfaat kepada lebih 50 penduduk melibatkan tujuh buah rumah namun ia merupakan laluan utama kepada orang ramai di sini untuk berulang-alik ke kebun.

"Dengan terbinanya jambatan keluli ini, ia sekali gus menoktahkan rintihan penduduk yang terbelenggu masalah perhubungan sejak tiga dekad lalu.

"Kemudahan jambatan baharu ini membuktikan bahawa penyediaan infrastruktur berkualiti adalah kunci utama kepada kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Sebelum ini, suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila sebuah titi gantung runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada 1 Januari.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala seorang kanak-kanak cedera di bahagian kepala serta tiga lagi mengalami luka ringan dan sesak nafas.

Pada 2 Januari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penggantian segera titi gantung yang runtuh di Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai demi keselamatan dan kemudahan rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, arahan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan telah dikeluarkan.

Ringkasan AI

  • Penduduk Kampung Chatel Damai, Lata Rek berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana jambatan baru menggantikan titi gantung yang runtuh
  • Jambatan keluli baru berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar, siap dalam enam minggu dengan kos RM200,000
  • Jambatan baru mampu menampung kenderaan berat hingga lima tan dan dilengkapi fasilitas lampu
  • Jambatan baharu ini memberi manfaat kepada lebih 50 penduduk dan merupakan laluan utama ke kebun
  • Sebelumnya, titi gantung runtuh semasa majlis perkahwinan menyebabkan kecederaan kepada beberapa tetamu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!