Tidak perlu pertikai, lantikan menteri hak prerogatif Perdana Menteri – Akmal Saleh

Akmal Saleh
Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM – Mana-mana pihak tidak perlu mempertikaikan siapa yang dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menganggotai barisan Kabinet baharu Kerajaan Madani.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pelantikan menteri merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, termasuk melantik individu yang bukan wakil rakyat sekiranya dirasakan layak untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

“Dengan erti kata lain, menteri yang dilantik ini adalah lambang air muka dan visi Perdana Menteri. Jadi, tidak perlu dipertikaikan siapa yang PMX (Anwar) lantik, sebab itu ‘baju’ PMX yang nak dipakai untuk memimpin.

“Jika menteri tidak berkualiti dan tidak boleh buat kerja, rakyat akan menghukum sendiri dengan tidak memberikan undi kepada parti beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan para menteri supaya menunaikan janji yang dibuat sebelum memegang jawatan serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab terhadap rakyat.

“Jika sebelum jadi menteri, janji bulan dan bintang, maka setelah dilantik, jangan pula lupa janji-janji yang pernah ditaburkan dahulu ketika belum memegang jawatan,” tegasnya.

Menurut beliau, masyarakat mempunyai keupayaan untuk menilai sama ada seseorang menteri mampu melaksanakan amanah yang diberikan.

“Jika menteri buat kerja dengan baik, maka rakyat akan memberi sokongan dan undi kepada parti beliau. Rakyat bukan tidak pandai menilai,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan menteri yang dilantik, namun menegaskan bahawa pelantikan sebagai menteri bukan alasan untuk bersuka ria, sebaliknya menuntut komitmen penuh untuk bekerja demi kepentingan rakyat dan menjaga sensitiviti masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Dan ingat, negara ini ada undang-undang dan Perlembagaan yang perlu dipatuhi, bukan bila sudah jadi menteri, semuanya mahu dilanggar.

“Jika tidak, pasti inilah sepenggal sahaja kamu jadi menteri!” katanya.

Ringkasan AI

  • Tidak perlu pertikaikan siapa yang dipilih Perdana Menteri sebagai menteri dalam Kabinet Baru Kerajaan Madani
  • Pelantikan menteri adalah hak perogatif Perdana Menteri termasuk melantik individu bukan wakil rakyat
  • Menteri yang dilantik adalah lambang air muka dan visi Perdana Menteri
  • Masyarakat mempunyai keupayaan menilai prestasi menteri yang akan mempengaruhi undi untuk parti tersebut
  • Menteri baru diingatkan untuk menunaikan janji dan bekerja dengan komitmen penuh demi kepentingan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!