Jururawat maut dijangkiti Covid-19

Areema Nasreen - Foto: Agensi
Areema Nasreen - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Seorang jururawat yang bertugas di Hospital Walsall Manor, West Midlands meninggal dunia selepas dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).

Memetik laporan The Sun, Areema Nasreen, 36, didapati positif wabak itu selepas menunjukkan simptom suhu badan meningkat, sakit sendi dan batuk sebelum menggunakan alat ventilator.

Ibu kepada tiga orang anak itu disahkan positif wabak berkenaan pada bulan Mac lalu dan dirawat di Hospital Walsall Manor sebelum kesihatannya turun mendadak dan meninggal dunia awal pagi tadi.

Kematiannya itu mencatatkan kes yang keenam dalam kalangan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berpunca daripada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, adiknya, Kazeema Nasreen yang juga merupakan seorang kakitangan perubatan berkata, dia mahu kematian Areema memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa wabak itu adalah sesuatu yang serius dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

"Masih ramai pihak yang tidak mengambil serius penularan wabak ini. Saya mahu masyarakat sedar bahawa wabak ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak kira peringkat umur dan tahap kesihatan," katanya.

Semalam, United Kingdom mencatatkan kes kematian sebanyak 2,961 termasuk 44 individu yang tidak mempunyai rekod sebarang penyakit.

Artikel Berkaitan: