SATU jamin bekalan air sempena Aidilfitri di Terengganu mencukupi

Abdul Karim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada tetamu yang hadir sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Media di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada Khamis.
Abdul Karim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada tetamu yang hadir sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Media di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air di seluruh negeri mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

​Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, pihaknya telah membuat persiapan lebih awal bagi memastikan bekalan air berjalan lancar termasuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan luar jangka.

​Menurut beliau, SATU kini berada pada tahap kesiapsiagaan sehingga 110 peratus bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak berdepan masalah bekalan air ketika musim perayaan.

​"Bagi sambutan Hari Raya tahun ini kita telah bersedia sepenuhnya.

​"Kita juga menjangkakan gangguan minimum seperti kes paip pecah atau kerosakan teknikal lain kerana langkah pencegahan telah diambil lebih awal," katanya.

​Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Media di Hotel Permai di sini, pada Khamis.

​Mengulas lanjut, Abdul Karim memberitahu, SATU turut meneruskan pelbagai usaha menaik taraf serta menggantikan aset lama sepanjang tahun 2025 bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di negeri berkenaan.

​Jelas beliau, setakat ini sebanyak 11 kampung di Terengganu telah menikmati penambahbaikan sistem agihan air ke rumah yang dilaksanakan sebelum ini.

​"Satu projek menaik taraf sistem bekalan air bernilai kira-kira RM10 juta telah dilaksanakan melibatkan kawasan di daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri manakala beberapa projek lain turut dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman syarikat," ujarnya.

​Tambah beliau, peruntukan dalaman tersebut menggunakan sebahagian besar pendapatan RM225 juta yang diperoleh pada tahun lalu.

​Jelasnya, melalui pendapatan yang diperolehi daripada Pelarasan Tarif Air pada Ogos tahun lalu, sebahagian besar dana digunakan semula untuk manfaat pengguna melalui pelaksanaan projek bekalan air.

​"Ini termasuk sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bentuk bantuan pendidikan, komuniti, sukan, keagamaan dan alam sekitar. Jadi kita pulangkan semula untuk manfaat pengguna," katanya.

​Ujar beliau, dengan pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan, pihaknya yakin sambutan Aidilfitri tahun ini dapat diraikan dalam keadaan lebih bersedia tanpa gangguan bekalan air yang ketara di seluruh negeri.

-ENDS-

Ringkasan AI

  • Syarikat Air Terengganu (SATU) menyediakan bekalan air cukup sepanjang Aidilfitri
  • SATU berada pada tahap kesiapsiagaan 110 peratus untuk elak masalah bekalan air
  • Usaha peningkatan dan penggantian aset hingga tahun 2025 untuk efisiensi sistem bekalan air
  • Sebanyak 11 kampung di Terengganu sudah menikmati sistem agihan air yang ditingkatkan
  • Pendapatan RM225 juta dari Pelarasan Tarif Air digunakan untuk projek bekalan air dan CSR

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!