Polis tubuh pasukan khas ronda cegah jenayah sempena Aidilfitri

Langkah bagi meningkatkan tahap keselamatan sepanjang musim perayaan

Ismail (kiri) memberi penerangan keselamatan kepada pengunjung pantai. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Ismail (kiri) memberi penerangan keselamatan kepada pengunjung pantai. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Polis menubuhkan pasukan khas bagi mempertingkatkan rondaan dan langkah pencegahan jenayah di daerah ini sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka menyaksikan peningkatan pergerakan orang ramai serta rumah ditinggalkan kosong.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pasukan khas itu digerakkan melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok serta balai-balai polis di bawah pentadbirannya.

Menurutnya, rondaan secara berkala akan dilaksanakan di kawasan perumahan serta lokasi tumpuan orang ramai bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa terpelihara sepanjang musim perayaan.

“Task force ini diwujudkan bagi mempertingkatkan rondaan pencegahan jenayah khususnya apabila ramai penduduk meninggalkan rumah untuk pulang beraya di kampung halaman atau bercuti.

“Rondaan akan dilaksanakan oleh anggota menggunakan kenderaan peronda, Unit Rondaan Bermotosikal serta anggota dari balai polis yang akan bergerak secara berkala dari pagi hingga malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bersama masyarakat di Pantai Irama di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Ismail turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak polis memantau keselamatan kawasan kediaman.

Menurutnya, melalui aplikasi tersebut orang ramai boleh memaklumkan kepada polis sekiranya mereka meninggalkan rumah dalam tempoh tertentu selain menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah di kawasan masing-masing.

“Dalam aplikasi ini juga terdapat butang kecemasan yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan segera daripada pihak polis sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai yang berkunjung ke kawasan pantai di daerah Bachok supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti riadah terutama sepanjang cuti Aidilfitri.

Katanya, daerah Bachok mempunyai kira-kira 32 kilometer kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung termasuk Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Kemasin dan Pantai Kandis.

“Setakat tahun ini, dua kes kematian akibat lemas dilaporkan di daerah ini melibatkan lelaki berusia 21 dan 34 tahun.

“Sehubungan itu, pengunjung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika keadaan ombak besar dan tidak mandi terlalu jauh dari pesisir pantai,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga melaksanakan rondaan secara berkala di kawasan pantai pada waktu petang hingga malam bagi memberi nasihat keselamatan kepada pengunjung selain mencegah kejadian tidak diingini.

Ringkasan AI

  • Polis Bachok menubuhkan pasukan khas untuk mempertingkatkan rondaan dan langkah pencegahan jenayah sempena sambutan Aidilfitri
  • Pasukan itu terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok dan balai-balai polis di bawah pentadbirannya
  • Rondaan secara berkala dilakukan di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan orang ramai untuk memastikan keselamatan
  • Masyarakat digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol untuk membantu polis memantau keselamatan
  • Pihak polis juga memberi nasihat keselamatan kepada pengunjung kawasan pantai di Bachok dan melakukan rondaan di kawasan pantai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!