Lebih 40 peratus iklan sewa bilik di Lembah Klang berunsur diskriminasi kaum - AOD

Laporan Room Rental Discrimination: Volume 1 Klang Valley dikeluarkan AOD.
Laporan Room Rental Discrimination: Volume 1 Klang Valley dikeluarkan AOD.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 40 peratus iklan sewaan bilik di Lembah Klang dikesan mengandungi unsur diskriminasi kaum secara jelas.

Penemuan itu diperoleh menerusi laporan Room Rental Discrimination: Volume 1 Klang Valley oleh Architects of Diversity (AOD) yang menganalisis sebanyak 35,367 iklan sewaan bilik di kawasan berkenaan.

Menurut laporan itu, sebanyak 42.8 peratus iklan memaparkan diskriminasi kaum secara jelas, iaitu lebih tinggi berbanding iklan menerima semua kaum sebanyak 22.6 peratus dan iklan tanpa sebarang keutamaan kaum dinyatakan iaitu 34.6 peratus.

Kajian berkenaan turut menunjukkan penyewa daripada komuniti India berdepan diskriminasi paling ketara apabila 31.7 peratus daripada semua iklan secara jelas tidak menerima mereka.

Angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding kadar diskriminasi terhadap penyewa Melayu sebanyak 7.6 peratus dan penyewa Cina sebanyak 3.9 peratus.

Menurut laporan itu, iklan yang tidak mendiskriminasi penyewa India secara purata adalah 11.2 peratus lebih mahal berbanding iklan yang tidak menerima mereka.

Keadaan itu menunjukkan penyewa India bukan sahaja lebih kerap didikriminasi, malah turut terhalang daripada mengakses iklan sewaan yang lebih menjimatkan kos.

Laporan itu turut menyatakan seseorang penyewa yang melayari platform sewaan secara statistik lebih berkemungkinan menemui iklan yang menolak penyewa dari kaum tertentu berbanding iklan yang secara jelas terbuka kepada semua penyewa.

Perbezaan antara kumpulan kaum juga dilihat ketara apabila 96.1 peratus iklan terbuka kepada penyewa Cina dan 92.4 peratus kepada penyewa Melayu, namun hanya 68.3 peratus iklan menerima penyewa India.

Artikel Berkaitan:

"Corak diskriminasi paling lazim di platform tersebut melibatkan penolakan terhadap penyewa India sahaja, sementara penyewa Melayu dan Cina diterima.

"Corak ini merangkumi 21.3 peratus daripada semua iklan dalam set data,” menurut laporan itu.

Dalam perkembangan sama, kajian terbabit menemukan bahawa tiada kawasan di Lembah Klang yang benar-benar bebas daripada diskriminasi kaum.

Katanya, kawasan Sentul yang memiliki kadar diskriminasi terhadap penyewa India paling rendah iaitu sebanyak 8.5 peratus iklan juga masih tidak menerima penyewa India.

Menurut rekod, kadar diskriminasi tertinggi melibatkan beberapa kawasan iaitu Ampang dengan 57.5 peratus iklan bersifat diskriminasi, diikuti Taman Desa (56.2 peratus), Klang (54.8 peratus), Setapak (51.1 peratus) dan Bangi (50.5 peratus).

Sebaliknya, kawasan berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur seperti KL City Centre (31.3 peratus) dan Titiwangsa (25.7 peratus) mencatatkan kadar diskriminasi yang lebih rendah serta jumlah iklan yang lebih inklusif.

AOD turut mengesan iklan yang tidak mendiskriminasi penyewa India secara purata berharga RM735, iaitu 11.2 peratus lebih tinggi berbanding iklan yang tidak menerima mereka yang berharga sekitar RM661.

Keadaan terbabit menunjukkan segmen sewaan yang lebih murah secara tidak seimbang tertutup kepada penyewa India, sekali gus mengehadkan pilihan perumahan mereka kepada pilihan yang lebih mahal.

Laporan terbabit mendapati penyewa daripada komuniti Melayu mencatatkan kadar diskriminasi kedua tertinggi iaitu 7.6 peratus daripada keseluruhan iklan di Lembah Klang.

Berdasarkan kajian, Taman Desa merekodkan kadar diskriminasi terhadap penyewa Melayu tertinggi iaitu 23.1 peratus, diikuti Setapak (17.9 peratus), Ampang (16.9 peratus), Kepong (15.7 peratus), Sri Petaling (15.4 peratus) dan Bukit Jalil (14.8 peratus).

Bagaimanapun, beberapa kawasan mencatatkan kadar diskriminasi terhadap penyewa Melayu yang sangat rendah seperti TTDI (1.2 peratus), Bangsar (1.5 peratus), Selayang (1.8 peratus) dan Sentul (2.2 peratus).

Dalam masa sama, penyewa Cina turut berdepan diskriminasi walaupun pada kadar paling rendah iaitu 3.9 peratus di seluruh Lembah Klang.

Menurut laporan, Bangi mencatatkan kadar diskriminasi terhadap penyewa Cina paling tinggi iaitu 23.8 peratus, diikuti Wangsa Maju (16.5 peratus), Ampang (14.5 peratus) dan Sepang (13.9 peratus).

Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti Kuchai Lama mencatatkan kadar penolakan sifar, manakala Sri Petaling (0.5 peratus), Subang Jaya (0.8 peratus), Taman Desa (0.8 peratus) dan Segambut (0.9 peratus) merekodkan kadar di bawah satu peratus.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee berkata terdapat keadaan di mana penyewa India tidak diterima tetapi penyewa Melayu dan Cina diterima.

"Laporan diterima menunjukkan bahawa isu berkenaan bukan sekadar pemilik rumah mahu menyewakan bilik kepada kaum sendiri.

“Sebaliknya, terdapat iklan yang menerima penyewa Melayu dan Cina, tetapi secara jelas tidak menerima penyewa India,” katanya pada sidang media sempena pelancaran laporan tersebut pada Khamis.

Oleh demikian, beliau berpandangan, Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman yang telah lama tertangguh berpotensi memberi perlindungan kepada pemilik rumah dan penyewa sekiranya dibentangkan.

Beliau berkata, undang-undang itu penting untuk memasukkan klausa yang melarang diskriminasi kaum oleh pemilik rumah, ejen serta platform yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan iklan sewaan.

Ringkasan AI

  • Lebih 40 peratus iklan sewaan bilik di Lembah Klang mengandungi unsur diskriminasi kaum
  • Penyewa daripada komuniti India berdepan diskriminasi paling ketara
  • Iklan yang tidak mendiskriminasi penyewa India secara purata adalah 11.2 peratus lebih mahal
  • Tiada kawasan di Lembah Klang yang benar-benar bebas daripada diskriminasi kaum
  • Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman dilihat sebagai solusi untuk menangani isu diskriminasi kaum di dalam sewaan bilik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!