Masih ramai yang memerlukan bantuan
Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

SHAH ALAM – Pengalaman menghantar makanan kepada rumah kebajikan dan petugas barisan hadapan menerusi program Redoxon Riuh Bazar: Dari Sahur Hingga Iftar, Nutrisi Penuh Makna membuka mata sukarelawan bahawa masih ramai golongan yang memerlukan bantuan, khususnya dalam aspek makanan.
Dalam program yang berlangsung di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam itu, sebanyak 500 pek makanan diagihkan kepada pengunjung dengan 200 daripadanya dihantar ke rumah kebajikan serta petugas barisan hadapan oleh Rider Misi.
Pentadbiran Misi Pusat Bandar Kuala Lumpur (PBKL), Nor Sazlyzah Abd Gapoor berkata, pihaknya bersyukur kerana diberi peluang menjadi perantara bagi menghantar sumbangan makanan kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, penghantaran dilakukan ke beberapa lokasi termasuk rumah kebajikan, maahad tahfiz serta kepada petugas barisan hadapan seperti polis, balai bomba, polis trafik dan hospital.
“Kami bersyukur diberi kesempatan untuk sama-sama menjayakan program ini dan menjadi rakan penghantar kepada rumah kebajikan yang terpilih.
“Selain itu, makanan turut dihantar ke maahad tahfiz dan kepada frontliner seperti polis, balai bomba, polis trafik, hospital serta sebahagiannya ke surau dan masjid,” ujarnya.
Nor Sazlyzah berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sebelum majlis perlepasan Rider Misi program Redoxon Riuh Bazar: Dari Sahur Hingga Iftar, Nutrisi Penuh Makna.
Majlis perlepasan disempurnakan oleh Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin dan pihak pengurusan Redoxon di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam.
Beliau berkata, setiap kali penghantaran dilakukan, pihak penerima terutama golongan kurang bernasib baik menunjukkan penghargaan yang sangat tinggi terhadap sumbangan yang diterima.
“Mereka sangat menghargai sumbangan itu dan penuh beradab mengucapkan terima kasih kerana masih ada pihak yang mengingati nasib mereka.
“Walaupun kami hanya sebagai rakan penghantar, pengalaman ini membuatkan kami lebih menghargai kehidupan kerana masih ramai yang kurang bernasib baik,” ujarnya.
Sementara itu, Rider Misi PBKL, Zairin Zailan berkata, antara pengalaman paling menyentuh hati ialah ketika menghantar makanan ke rumah anak yatim.
Menurutnya, kegembiraan yang ditunjukkan kanak-kanak di rumah kebajikan itu memberi kesan mendalam kepada sukarelawan yang terlibat.
“Apabila kami menghantar makanan ke rumah anak yatim, kami melihat betapa mereka begitu bersyukur dengan apa yang kami bawa.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai menu yang berbeza daripada hari-hari biasa dan mereka sangat menghargai apa yang kami berikan,” ujarnya.
Beliau berkata, ucapan terima kasih yang berulang kali daripada kanak-kanak tersebut membuatkan mereka sedar bahawa sumbangan kecil mampu memberi makna besar kepada penerima.
Dalam pada itu, seorang lagi Rider Misi PBKL, Muhammad Fahsyar Hakim, berkata pengalaman menyertai program berkenaan membuka matanya bahawa masih ramai golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan makanan.
Menurutnya, program seperti itu wajar diteruskan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada masa lain.
“Sepanjang penghantaran ke setiap tempat, kami sedar masih ramai golongan yang kurang bernasib baik.
“Sebab itu kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan hanya pada bulan puasa tetapi juga pada bulan-bulan lain supaya kita dapat terus menceriakan mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Pengalaman menghantar makanan kepada golongan memerlukan membuka mata sukarelawan
- Program Redoxon Riuh Bazar diagihkan 500 pek makanan, 200 antaranya untuk rumah kebajikan dan petugas barisan hadapan
- Penerima menunjukkan penghargaan yang tinggi terhadap sumbangan yang diterima
- Antara pengalaman menyentuh hati adalah menghantar makanan ke rumah anak yatim
- Program berkenaan diharap dapat diteruskan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga masa lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

