Kelantan senarai hitam lesen, kompaun peniaga bazar Aidilfitri buang sampah merata

Hilmi
Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan menyenarai hitam lesen dan mengenakan kompaun terhadap peniaga bazar Aidilfitri yang didapati membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan kebersihan kawasan perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya pihak berkuasa mengenal pasti peniaga yang gagal menguruskan sisa perniagaan masing-masing selepas tamat operasi.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada peniaga untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bagi membolehkan mereka menghabiskan jualan menjelang Aidilfitri.

"Kalau hendak habiskan barang jualan, kita tidak halang. Cuma kita minta supaya peniaga menjaga kebersihan kawasan perniagaan masing-masing.

"Sebelum ini kita beri kebenaran tetapi ada yang meninggalkan sampah begitu sahaja selepas tamat operasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri juga terpaksa menyediakan sumbangan khas Aidilfitri kepada lebih 700 pekerja kebersihan yang akan bertugas pada malam dan pagi Hari Raya bagi membersihkan sisa sampah yang ditinggalkan di bazar Aidilfitri di seluruh negeri.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan kawasan bandar berada dalam keadaan bersih dan teratur ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Pekerja kebersihan ini akan bertugas membersihkan sampah sarap tinggalan bazar Aidilfitri di seluruh negeri.

"Sebab itu kita harap semua peniaga dapat mengemas kembali premis perniagaan masing-masing dan memastikan kebersihan sentiasa terjaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sekiranya terdapat peniaga yang dikenal pasti melanggar undang-undang kecil kebersihan, pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun dan menyenarai hitam lesen perniagaan mereka.

Bagaimanapun katanya, memandangkan Aidilfitri semakin hampir, kerajaan negeri masih memberi pertimbangan dengan harapan semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan.

"Harapan kita supaya pada hari raya nanti, bandar kita berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk orang ramai," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kelantan akan menyenarai hitam lesen dan mengenakan kompaun kepada peniaga bazar Aidilfitri yang buang sampah merata-rata
  • Tindakan diambil jika peniaga gagal mengurus sisa perniagaan selepas tamat operasi
  • Pemberian kelonggaran beroperasi hingga jam 12 tengah malam menjelang Aidilfitri dengan syarat menjaga kebersihan
  • Kerajaan negeri menyediakan sumbangan Aidilfitri untuk pekerja kebersihan membersihkan sisa bazar
  • Langkah mengenakan kompaun dan menyenarai hitam diambil untuk memastikan kebersihan kawasan perniagaan terjaga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!