Guru beri alasan buang sampah sebelum lari daripada suami kaki pukul

KUALA LUMPUR - Seorang guru terpaksa memberikan alasan keluar membuang sampah gara-gara mahu menyelamatkan diri daripada terus dipukul suaminya dalam kejadian di Salak Selatan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa berusia 26 tahun itu sebelum itu mendakwa dipukul suaminya di kediaman mereka sekitar jam 12.20 tengah hari.
Menurutnya, bagi mengelakkan dipukul berterusan, mangsa memberi alasan mahu membuang sampah sebelum melarikan diri dengan bantuan abangnya yang menunggu di luar rumah.
"Ketika mereka menaiki sebuah Mercedes, suami mangsa mengekori kenderaan itu sebelum bertindak mengejar mereka sehingga ke Jalan Kampung Pasir Pantai Dalam.
"Suspek kemudian melanggar bahagian belakang kereta abang mangsa sebanyak dua kali sehingga hampir menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbabas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, mangsa dan abangnya berjaya meloloskan diri selepas memasuki Lebuhraya SPE.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang guru di Salak Selatan menyelamatkan diri dari dipukul suaminya dengan berpura-pura membuang sampah
- Mangsa berusia 26 tahun mendakwa dipukul oleh suaminya di kediaman mereka
- Mangsa melarikan diri dengan bantuan abangnya yang menunggu di luar rumah
- Suami mangsa mengejar dan melanggar kereta abang mangsa sebanyak dua kali
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

