Elak harga cekik darah, MBS mungkin ambil alih tapak Bazar Aidilfitri Dataran Senawang tahun depan

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban(MBS) tidak menolak kemungkinan akan menguruskan sepenuhnya tapak Bazar Aidilfitri Dataran Senawang pada tahun hadapan.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, langkah itu bagi memastikan isu harga tapak bazar tinggi yang didakwa dikenakan penganjur tidak berulang lagi.
Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada peniaga juga menunjukkan mereka berpuas hati apabila bazar berkenaan diuruskan oleh MBS.
"Berdasarkan maklum balas yang kami terima daripada peniaga, mereka berpuas hati apabila bazar ini diuruskan oleh MBS dan berharap tahun akan datang pun MBS yang uruskan.
"Jadi selepas ini kita akan buat satu post mortem untuk melihat kekurangan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan supaya pada masa akan datang keadaan lebih teratur sekaligus memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung,"katanya ditemui pemberita membuat tinjauan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.
Bagaimanapun ujarnya, ia tertakluk kepada hasil perbincangan yang dilakukan pada masa hadapan.
Tambahnya, pihaknya turut mengakui ada yang tidak berpuas hati dengan MBS kerana mengenakan bayaran RM40 untuk satu tapak kosong yang dibayar secara harian.
"RM40 itu untuk tapak kosong, tapi ada yang berminat nak berniaga kita bagi sewa secara harian.
"Kalau dia nak berniaga selama sebulan, kita bagi harga untuk sebulan. Bagi saya, itu tak ada isu sebenarnya,"katanya.
Berkenaan waktu operasi pula, jelas Masri ia ditetapkan sehingga jam 2 pagi, namun pada malam Aidilfitri kemungkinan akan dilanjutkan.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan para peniaga supaya menjaga kebersihan tapak khemah masing-masing bagi mengelak wang deposit mereka tidak dikembalikan.
"Sememangnya ada pekerja pembersihan di sini, tapi jadi tanggungjawab para peniaga untuk sama-sama menjaga kebersihan.
"Kita tidak mahu keesokkannya nak sambut Syawal, kawasan tapak ini ditinggalkan dalam keadaan kotor"katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan berkenaan harga sewa tapak khemah bazar terbabit ditawarkan penganjur mencecah sehingga RM14,000.
Rentetan itu, pihak MBS segera bertindak mencari jalan penyelesaian isu terbabit sebelum menamatkan serta-merta pelantikan empat penganjur bazar itu.
Penamatan tersebut berikutan kegagalan penganjur mematuhi minit mesyuarat perjumpaan yang diadakan baru-baru ini serta syarat penganjuran yang ditetapkan.
Ringkasan AI
- Majlis Bandaraya Seremban mungkin akan mengurus sepenuhnya tapak Bazar Aidilfitri Dataran Senawang tahun depan
- Langkah tersebut untuk memastikan isu harga tapak bazar tinggi tidak berulang
- Peniaga berpuas hati bazar diurus oleh MBS dan berharap kekalahan pengurusan pada masa akan datang
- MBS mengenakan bayaran RM40 untuk satu tapak kosong secara harian
- Operasi bazar ditetapkan sehingga jam 2 pagi, mungkin dilanjutkan pada malam Aidilfitri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

