Bantuan disalurkan segera: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan akan dapat menyelesaikan pembayaran Pakej Bantuan Rakyat kepada semua penerima di negeri ini sebelum berakhir minggu ke dua April ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat hari ini, seramai 1,392 penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun menerima bantuan tunai one-off sebanyak RM500 yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, mereka juga akan menerima bantuan yang disalurkan oleh pihak Persekutuan selewat-lewatnya 10 April depan.

"Kerajaan negeri juga telah pun menyalurkan bantuan RM500 kepada penjaja berlesen di negeri ini, hari ini, yang mana pada awalnya pengagihan bantuan hanya akan dilakukan pada 15 April akan datang.

"Kita yakin semua bayaran dapat disempurnakan dalam tempoh tiga hari kepada penjaja yang terlibat setelah menerima dokumen lengkap daripada pihak berkaitan," katanya pada sidang media yang disiarkan melalui FB Live di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, bayaran bagi pemandu pelancong dan pengusaha bas sekolah juga telah dimulakan sejak semalam manakala bayaran bantuan untuk penarik beca pula akan dilakukan secara manual pada minggu ini.

Katanya, kerajaan negeri faham akan kesusahan yang diharungi oleh rakyat, justeru menjadi hasrat pihaknya untuk menghulurkan segala bantuan dengan kadar segera.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan 17 pakej bantuan rakyat melibatkan perbelanjaan RM75 juta kepada mereka yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow sebelum ini berkata pakej bantuan berkenaan menggariskan tiga objektif utama termasuk memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terjejas seperti penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan B40.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mahu mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

Selain itu, katanya pakej bantuan ini membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri ini bagi memastikan ekonomi akan terus dibangunkan pada pasca tempoh PKP.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan seorang usahawan di negeri ini telah menawarkan hotelnya sebagai penginapan kepada pertugas-petugas hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sepanjang tempoh PKP.

Beliau berharap agar ada pihak swasta yang lain akan tampil menawarkan penginapan kepada mereka yang perlu dikuarantin termasuk yang baru tiba dari luar negara.