Barang keperluan di Johor mencukupi sepanjang PKP

Aktiviti pemantauan udara dilakukan pihak ATM dan agensi lain dilakukan hari ini dengan menggunakan dron bagi memastikan penduduk di kawasan Simpang Renggam, Kluang mematuhi arahan PKPD.
Aktiviti pemantauan udara dilakukan pihak ATM dan agensi lain dilakukan hari ini dengan menggunakan dron bagi memastikan penduduk di kawasan Simpang Renggam, Kluang mematuhi arahan PKPD.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi di Johor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah gula, minyak masak, tepung gandum, telur, beras, sardin dan mi segera.

Bagaimanapun, bekalan berkenaan mudah diperoleh di seluruh Johor dan tinjauan juga menunjukkan stok simpanan bekalan barang keperluan daripada pemborong mencukupi bagi menampung permintaan harian.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, sehingga semalam sebanyak 1,224 premis peruncit, pemborong dan pengilang diperiksa termasuk pada hujung minggu.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mengesan sebarang kenaikan harga barang secara mendadak ke atas barang-barang keperluan itu sepanjang tempoh PKP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 200 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemeriksaan di premis runcit, pemborong dan pengilang di seluruh negeri ini bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

Bagi mempertingkatkan pemantauan terhadap pematuhan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar dua pasukan daripada Bahagian Perisikan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pemantauan dari udara dengan menggunakan dron selama dua hari bermula semalam.

Katanya, ini bagi memastikan masyarakat setempat mematuhi arahan PKPD dan kerajaan akan komited serta terus bersiap siaga menghadapi wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Sehingga hari ini katanya, sebanyak 14 stesen kuarantin diaktifkan di Johor bagi penempatan pesakit Covid-19 yang memerlukan pengawasan pasukan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan penambahan sebanyak 27 kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 395 kes.

"Sebanyak tiga kematian baharu direkodkan bagi negeri Johor semalam," katanya.

Bagi memastikan tempat tumpuan awam di negeri ini bebas daripada jangkitan Covid-19, Vidyananthan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus melaksanakan operasi Sanitasi Awam Covid-19 di semua daerah dengan kerjasama SWCorp, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

Operasi berkenaan ujarnya, dilaksanakan bermula jam 9 pagi semalam sehingga lewat malam tadi yang dibahagikan kepada tiga zon utama terutama di bandar utama.