Jual semula minyak masak terpakai, RM2.30 per kg

Minyak masak terpakai akan ditimbang sebelum dibayar tunai mengikut berat.
Minyak masak terpakai akan ditimbang sebelum dibayar tunai mengikut berat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Jangan buang minyak masak terpakai sebaliknya minyak itu boleh dijual semula dengan harga RM2.30 per kilogram (kg) menerusi Program Sisa Jadi Dana (SIDINA) Used Cooking Oil (UCO).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd berkata, isi rumah dan penjaja yang menjual makanan bergoreng digesa mengambil peluang menyertai program tersebut.

Menurutnya, orang awam perlu mengelak membuang minyak secara terus kerana boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

"Program (kumpul minyak terpakai) ini dapat menjana pendapatan tambahan bagi isi rumah khususnya bagi kumpulan B40.

"MPHS akan terus komited dalam menyediakan platform bagi menggalakkan amalan kitar semula di kalangan komuniti dalam usaha mencapai misi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Program Bandar Rendah Karbon (LCCF)," katanya.

Pada Khamis, MPHS telah menganjurkan Program Kitar Semula Minyak Terpakai di bawah SIDINA di Pusat Kitar Semula, Kuala Kubu Bharu di sini.

Salah seorang peserta menunjukkan hasil diperoleh daripada menjual minyak masak terpakai di bawah program SIDINA UCO pada Khamis.
Salah seorang peserta menunjukkan hasil diperoleh daripada menjual minyak masak terpakai di bawah program SIDINA UCO pada Khamis.

SIDINA merupakan penjenamaan bagi program kitar semula di bawah Jabatan Pengurusan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSPPA) MPHS

Pada majlis itu, MPHS telah bekerjasama dengan Trash4Cash sebuah syarikat yang berdaftar dengan Malaysian Oil Palm Board (MPOB) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menganjurkan pembelian minyak masak terpakai di bawah Program SIDINA Used Cooking Oil (UCO) yang menawarkan harga belian RM2.30 per kg.

MPHS menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, seramai 45 orang telah membawa UCO dengan jumlah terkumpul 312.04 kg.

"Hasil maklum balas yang menggalakkan, program ini akan dilaksanakan secara bulanan di lima pusat kitar semula MPHS iaitu di Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali dan Bukit Beruntung (Adenium & Jalan Bunga Kertas).

"UCO selalunya akan dibuang ke dalam sinki atau longkang namun dengan teknologi terkini, UCO boleh digunakan dalam menghasilkan minyak bio-diesel," katanya.