Cadang kereta sewa jadi pengangkutan acara besar di Melaka

Mohd Ridhwan (kanan) meninjau operasi kereta sewa di Melaka Sentral.
Mohd Ridhwan (kanan) meninjau operasi kereta sewa di Melaka Sentral.
A
A
A

MELAKA - Cadangan melibatkan perkhidmatan kereta sewa dalam program-program besar di negeri ini dijangka mampu membantu hampir 500 ahli Persatuan Gabungan Teksi dan Kereta Sewa Melaka menambah pendapatan.

Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, perkara itu perlu dibincangkan antara persatuan bersama agensi terdekat Melaka Sentral dan kerajaan negeri melalui Exco berkaitan.

Menurutnya, langkah itu sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan berkenaan yang memainkan peranan sebagai duta kecil mempromosikan Melaka sebelum kemudahan e-hailing berkembang.

“Sekarang ini kita tahu orang ramai banyak bergerak menggunakan perkhidmatan e-hailing melalui aplikasi.

“Namun, ada cadangan supaya persatuan berbincang dengan kerajaan negeri melalui agensi yang rapat dengan mereka iaitu Melaka Sentral bagi melihat bagaimana ahli persatuan ini boleh terlibat menyediakan perkhidmatan kereta sewa untuk membawa tetamu agensi atau kerajaan negeri dalam acara besar di Melaka,” katanya pada Program Sumbangan Foodbank kepada 60 penerima daripada persatuan berkenaan di Melaka Sentral.

Katanya, perkara itu sebelum ini pernah dibincangkan, namun masih belum menemukan formula terbaik untuk pelaksanaan.

Mohd Ridhwan (tengah) menyampaikan foodbank kepada penerima sempena Ramadan.
Mohd Ridhwan (tengah) menyampaikan foodbank kepada penerima sempena Ramadan.

“Jadi ia boleh diusahakan bersama antara persatuan dan kerajaan negeri dan jika direalisasikan, ia dapat memberi pendapatan tambahan kepada ahli-ahli persatuan.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan ahli persatuan tersebut juga kini turut menyediakan perkhidmatan e-hailing dan saya yakin kenderaan mereka sesuai untuk digunakan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Ujar beliau, perkhidmatan kereta sewa bagi acara rasmi biasanya akan dibuka melalui tender atau sebut harga, namun beliau berharap persatuan berkenaan boleh diberikan keutamaan melalui sokongan kerajaan negeri dengan syarat memenuhi standard ditetapkan.

“Ini kerana mereka mewakili ahli-ahli yang telah lama menaburkan bakti dalam bidang pelancongan dan perkhidmatan pengangkutan sebelum era digital.

“Cadangan itu juga dilihat bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2026 serta Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar peluang tersebut diperluaskan dengan membantu ahli persatuan menembusi pasaran lain seperti perkhidmatan di hotel, sektor korporat serta institusi perubatan yang menjadi antara sektor penting di Melaka.

Ringkasan AI

  • Cadangan melibatkan perkhidmatan kereta sewa di Melaka dapat membantu hampir 500 ahli Persatuan Gabungan Teksi dan Kereta Sewa meningkatkan pendapatan
  • Langkah ini dilihat sebagai penghargaan kepada mereka yang telah lama mempromosikan Melaka sebelum era perkhidmatan e-hailing
  • Pengerusi DMDI mencadangkan agar persatuan ini berbincang dengan kerajaan negeri melalui Melaka Sentral bagi melihat bagaimana mereka boleh terlibat dalam menyediakan perkhidmatan untuk acara besar
  • Cadangan ini masih dalam perbincangan untuk mencari formula terbaik bagi pelaksanaannya
  • Ini juga bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2026 dan Tahun Melawat Malaysia, membuka peluang peluasan pasaran bagi ahli persatuan di sektor lain seperti hotel, korporat, dan perubatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!