Rumah sewa jadi stor rokok seludup bernilai RM1.6 juta

KUANTAN – Sebuah rumah yang disyaki disewa oleh sekumpulan warga asing di Indera Mahkota 21 di sini dikesan digunakan sebagai stor simpanan rokok tidak bercukai bernilai lebih RM1.6 juta.
Kegiatan haram itu terbongkar hasil serbuan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang ke atas premis kediaman tersebut kira-kira jam 10.30 pagi, Ahad lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui kotak-kotak berisi 1.58 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM261,758, manakala nilai cukainya melebihi RM1.36 juta.
Menurutnya, tiada penghuni di premis berkenaan ketika serbuan, namun berdasarkan keadaan rumah tersebut, ia dipercayai turut dihuni beberapa individu warga asing.
"Siasatan awal mendapati sindiket itu menyewa rumah berkenaan sejak dua bulan lalu sebagai stor penyimpanan selain dijadikan tempat tinggal.
"Rokok-rokok tidak bercukai yang dirampas disyaki untuk pasaran sekitar daerah ini termasuk dijual kepada pelanggan dalam kalangan warga asing," katanya pada sidang akhbar kejayaan rampasan itu di sini pada Selasa.
Mohd Asri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang sebenar sindiket pengedaran rokok seludup tersebut.
"Setakat ini, pihak kami telah mengambil keterangan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Jelas beliau, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Mohd Asri meminta orang ramai tampil membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.
Ringkasan AI
- Rumah disyaki disewa warga asing di Indera Mahkota digunakan simpan rokok tidak bercukai lebih RM1.6 juta
- Serbuan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang merampas 1.58 juta batang rokok bernilai RM261,758 dengan cukai melebihi RM1.36 juta
- Sindiket menyewa rumah untuk stor dan tempat tinggal, rokok diragui jual kepada warga asing sekitar daerah
- Siasatan lanjut untuk kenal pasti dalang, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan hukuman berat bagi yang bersalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

