Dua kereta hangus dalam kejadian berasingan

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran Skereta Mercedes S400H di Tasek Gelugor. Foto: JBPM Pulau Pinang
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran Skereta Mercedes S400H di Tasek Gelugor. Foto: JBPM Pulau Pinang
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua kejadian kebakaran kereta dilaporkan berlaku di dua lokasi berbeza di negeri ini pada petang Rabu, masing-masing di Tasek Gelugor dan Gelugor.

Dalam kejadian pertama di Jalan Jarak Atas menghala ke Ara Kuda, Tasek Gelugor sebuah kereta jenis Mercedes S400H musnah kira-kira 75 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada jam 2.16 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang sebelum tiba di lokasi pada jam 2.34 petang dengan kekuatan lapan anggota serta dua jentera jenis FRT dan EMRS.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api yang memusnahkan sebahagian besar kenderaan berkenaan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang selepas memastikan tiada risiko lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.

Sebuah kereta Proton Waja hangus dalam kejadian di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Gelugor. Foto: JBPM Pulau Pinang
Sebuah kereta Proton Waja hangus dalam kejadian di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Gelugor. Foto: JBPM Pulau Pinang

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada jam 3.49 petang, sebuah kereta jenis Proton Waja turut terbakar di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Gelugor, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Uban.

Artikel Berkaitan:

John Sagun berkata, pasukan bomba bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer selepas menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 4 petang dengan kekuatan 10 anggota serta dua jentera.

“Kebakaran melibatkan kemusnahan kira-kira 80 peratus pada bahagian kereta.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang,” katanya.

Tambahnya, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak FIO.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan," ujarnya lagi.

Ringkasan AI

  • Dua kejadian kebakaran kereta berlaku di Tasek Gelugor dan Gelugor, Pulau Pinang
  • Kereta Mercedes S400H musnah 75% dalam kebakaran di Tasek Gelugor
  • Kebakaran kereta di Tasek Gelugor dikawal dalam masa 23 minit
  • Kereta Proton Waja terbakar di dekat JPJ Batu Uban, Gelugor musnah 80%
  • Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian kebakaran tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!