X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Thailand sahkan 104 kes baharu, tiga kematian

Penduduk membeli keperluan asa di sebuah pasar raya di Bangkok. Foto - Xinhua
A
A

BANGKOK - Thailand merekodkan 104 kes baharu koronavirus (Covid-19) dan tiga kematian termasuk seorang warga Thai yang pulang dari Pakistan dan meninggal dunia dalam perjalanan menaiki kereta api penumpang dari Bangkok ke wilayah selatan Narathiwat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,875 kes dan 15 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, lelaki berusia 57 tahun itu baru balik dari Pakistan pada 29 Mac lalu dan menaiki kereta api ke Sungai Kolok pada 30 Mac.

Ujian yang dilakukan mengesahkan lelaki terbabit yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi, positif Covid-19.

Thaweesilp berkata, lelaki Thai berusia 77 tahun dari Pattani yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan emfisema serta pemandu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi berumur 55 tahun merupakan dua lagi kematian yang dilaporkan di negara ini.

“Daripada 1,875 kes Covid-19 di Thailand, terdapat 47 kes yang dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan di Malaysia dan empat kematian dilaporkan. Kumpulan itu menyebabkan seramai 1,000 orang di Thailand menjalani kuarantin,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehingga kini, kesemua 1,875 kes Covid-19 dilaporkan di 62 wilayah di Thailand dan 1,598 adalah rakyat Thai manakala 277 warga asing. Seramai 503 pesakit dibenarkan keluar manakala bakinya masih dirawat di hospital.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, kerajaan menggesa pengembara, termasuk rakyat Thai untuk menangguh rancangan mereka pulang ke Thailand sehingga 15 April berikutan banyak kes Covid-19 di negara ini berkaitan dengan kes import.

“Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha mengarahkan Kementerian Luar untuk mengurangkan bilangan rakyat Thailand dan warga asing melancong ke Thailand.

“Kesemua penumpang, kecuali mereka yang mendapat keizinan terlebih dahulu atau sebelum langkah ini, sekiranya boleh, tangguhkan rancangan perjalanan mereka ke Thailand,” katanya.

Sekurang-kurangnya 19 rakyat Thailand diuji positif Covid-19 selepas pulang dari Indonesia untuk menghadiri perhimpunan keagamaan yang telah dibatalkan pada saat akhir. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus