KWSP bukan tabung raya

PENGUMUMAN dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus baru-baru ini sekali lagi mencetuskan perbincangan tahunan iaitu bolehkah wang itu digunakan segera, lebih-lebih lagi ketika Aidilfitri semakin hampir.
Cadangan supaya dividen dimanfaatkan melalui Akaun 3 mendapat sokongan sebahagian pencarum yang melihatnya sebagai kelegaan tunai menjelang musim perayaan
Realitinya mudah difahami. Sambutan raya bukan perbelanjaan kecil. Tinjauan pengguna menunjukkan keluarga Malaysia lazimnya memperuntukkan sekitar RM1,000 hingga RM3,000, manakala keluarga lebih besar boleh mencecah RM3,000 hingga RM5,000 bagi pakaian, perjalanan balik kampung, duit raya, makanan serta persiapan rumah.
Dalam keadaan harga barangan meningkat, jumlah itu bukan sedikit.
Apabila dividen diumumkan, ramai mula membuat kiraan sendiri. Dengan kadar 6.15 peratus, pencarum yang mempunyai simpanan RM100,000 menerima kira-kira RM6,150 dividen setahun — hampir menyamai bajet raya sebuah keluarga sederhana.
Tidak hairanlah timbul persoalan mengapa wang tersebut tidak boleh diakses dengan lebih mudah.
Namun di sinilah asas penubuhan KWSP perlu diingat. Dana itu bukan diwujudkan sebagai tabung perbelanjaan bermusim, sebaliknya perlindungan kewangan apabila seseorang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
Dividen pula bukan bonus tahunan seperti yang sering disalah tafsir, tetapi sebahagian pertumbuhan simpanan persaraan.
Data KWSP menunjukkan hanya sekitar 36 peratus pencarum aktif mencapai tahap simpanan asas minimum RM240,000 pada usia 55 tahun. Ini bermakna hampir dua pertiga pencarum masih belum mempunyai simpanan persaraan mencukupi.
Cadangan menyalurkan dividen terus ke Akaun 3 mungkin kelihatan praktikal dalam jangka pendek. Namun jika terlalu banyak simpanan menjadi cair, risiko jangka panjangnya besar. Simpanan hari tua boleh menyusut tanpa disedari.
Perdebatan ini mencerminkan dilema semasa. Rakyat memerlukan ruang bernafas hari ini, sementara negara perlu memastikan masa depan persaraan kekal terjamin. Fleksibiliti penting, tetapi disiplin simpanan tidak boleh diketepikan.
Kerana pada akhirnya, KWSP bukan tabung raya, tetapi benteng terakhir kewangan rakyat apabila usia persaraan tiba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
