Kedaulatan digital perlu lebih daripada larangan

KESELAMATAN data kini menjadi sebahagian daripada kepentingan strategik sesebuah negara.
Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, maklumat peribadi, lokasi dan corak pergerakan bukan lagi sekadar data biasa, sebaliknya berpotensi mempunyai nilai keselamatan yang besar jika jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
Kebimbangan kerajaan terhadap kemungkinan penyalahgunaan data penjawat awam melalui aplikasi navigasi seperti Waze tidak boleh dipandang ringan.
Perlindungan maklumat sensitif, khususnya yang melibatkan kepentingan negara, sememangnya perlu diberikan keutamaan. Namun, usaha melindungi keselamatan digital tidak seharusnya terhenti pada larangan penggunaan satu aplikasi.
Sebaliknya, langkah itu perlu menjadi permulaan kepada pendekatan lebih menyeluruh dalam menilai keselamatan platform digital yang digunakan oleh penjawat awam dan rakyat.
Isu ini juga membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedaulatan digital melalui pembangunan teknologi tempatan, kepakaran keselamatan siber dan dasar pengurusan data yang lebih mantap.
Kebergantungan kepada platform luar bukan semestinya membawa risiko secara automatik, tetapi setiap penggunaan teknologi perlu dinilai berdasarkan keperluan dan tahap sensitiviti data.
Dalam konteks ini, usaha memperluas penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu boleh menjadi peluang untuk memperkukuh keupayaan teknologi negara. Bagaimanapun, sokongan terhadap produk tempatan tidak seharusnya bergantung pada larangan terhadap pesaing semata-mata.
Sebaliknya, aplikasi tempatan perlu membuktikan keupayaannya melalui ketepatan maklumat jalan raya dan kemas kini trafik yang boleh dipercayai, kemudahan penggunaan serta jaminan perlindungan data yang meyakinkan.
Pengguna juga perlu diberikan maklumat yang jelas tentang cara data mereka dikendalikan supaya keyakinan dapat dibina atas asas yang kukuh.
Akhirnya, kedaulatan digital bukan sekadar soal menentukan aplikasi mana yang boleh atau tidak boleh digunakan. Ia menuntut dasar keselamatan yang menyeluruh, keupayaan teknologi yang berdaya saing dan keyakinan masyarakat terhadap perlindungan data mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
