Dividen 6.15 peratus masih kompetitif - Pakar

SHAH ALAM - Pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus disifatkan masih kompetitif dan mencerminkan kedudukan ekonomi negara yang kekal stabil meskipun sedikit rendah berbanding tahun sebelumnya.
Pakar ekonomi dari Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar tersebut masih tinggi berbanding purata kadar dividen yang lepas.
Menurutnya, peningkatan jumlah simpanan ahli setiap tahun turut memberi kesan kepada jumlah agihan dividen secara keseluruhan.
“Pada pandangan saya, walaupun kadar 6.15 peratus itu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, ia masih lebih tinggi daripada purata kadar dividen bagi tempoh lima, 10, 15 dan 20 tahun lalu.
“Selain itu, pertambahan jumlah simpanan memerlukan agihan dividen lebih tinggi iaitu RM79.6 bilion berbanding RM73.24 bilion,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas kebimbangan segelintir pihak bahawa penurunan kecil kadar dividen mungkin menjadi isyarat prestasi ekonomi yang negatif, Ahmed Razman menegaskan tanggapan itu tidak tepat.
Ini kerana, katanya, prestasi pasaran saham tempatan menerusi Bursa Malaysia kekal positif tahun lalu dengan pertumbuhan sekitar 2.3 peratus.
“Prestasi ini sekali gus menafikan andaian ekonomi berada dalam keadaan lemah.
“Sebaliknya, kadar 6.15 peratus itu mencerminkan ekonomi yang stabil, berdaya tahan dan mempunyai potensi terus berkembang,” ujarnya.
Beliau turut menjangkakan kadar dividen KWSP bagi 2026 berpotensi kekal pada paras kompetitif seperti dicatatkan pada 2024 dan 2025.
Mengulas cadangan supaya dividen tahun kewangan 2025 disalurkan ke Akaun 3 (Fleksibel), beliau berkata, pencarum perlu mengurus purata simpanan dalam akaun tersebut dengan baik agar tidak menjejaskan pulangan dividen.
“Bagi memperoleh dividen lebih tinggi dalam Akaun Fleksibel, pencarum perlu memastikan purata simpanan dalam akaun itu kekal tinggi dan tidak membuat pengeluaran tanpa keperluan mendesak,” katanya.
Ringkasan AI
- KWSP umum dividen 6.15 peratus, dianggap kompetitif dan mencerminkan ekonomi negara yang stabil
- Kadar tersebut lebih tinggi daripada purata dividen lima, 10, 15, dan 20 tahun lepas
- Peningkatan jumlah simpanan ahli setiap tahun meningkatkan jumlah agihan dividen
- Prestasi pasaran saham tempatan yang positif menafikan tanggapan ekonomi negara lemah
- Ahmed Razman jangkakan kadar dividen KWSP kekal kompetitif pada 2024 dan 2025, saran pengurusan baik untuk Akaun Fleksibel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

