Rumah kediaman bukan asrama pekerja

Isu penempatan pekerja asing dalam sektor 3D bukan sekadar soal tempat tinggal, tetapi turut melibatkan tanggungjawab majikan dan pemaju memastikan penginapan memenuhi piawaian ditetapkan. Gambar hiasan
Isu penempatan pekerja asing dalam sektor 3D bukan sekadar soal tempat tinggal, tetapi turut melibatkan tanggungjawab majikan dan pemaju memastikan penginapan memenuhi piawaian ditetapkan. Gambar hiasan
A
A
A

RUMAH kediaman tidak seharusnya menempatkan pekerja secara berlebihan sehingga mengabaikan keselamatan, keselesaan dan pematuhan peraturan.

Isu penempatan pekerja asing dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) bukan sekadar soal tempat tinggal, tetapi turut melibatkan tanggungjawab majikan dan pemaju memastikan penginapan memenuhi piawaian ditetapkan.

Penempatan pekerja secara berlebihan boleh menyebabkan kesesakan, kekurangan kemudahan sanitasi dan menjejaskan keselamatan penghuni ketika kecemasan.

Keadaan lebih membimbangkan apabila rumah kediaman dijadikan penginapan pekerja tanpa kawalan dan pemantauan sewajarnya.

Di Semenanjung Malaysia dan Labuan, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) menetapkan standard penginapan pekerja, termasuk aspek keselamatan kebakaran, pendawaian elektrik dan kesesuaian bangunan.

Bilangan pekerja perlu ditentukan berdasarkan jenis bangunan, keluasan ruang dan syarat ditetapkan, bukan sekadar kemampuan rumah menampung penghuni.

Selain itu, penggunaan elektrik yang tinggi di rumah yang didiami ramai orang turut memerlukan perhatian.

Jika pemasangan elektrik tidak sesuai dengan beban penggunaan atau berlaku sambungan bekalan tanpa kebenaran, risiko keselamatan boleh meningkat dan berpotensi mengancam penghuni serta rumah berhampiran.

Risiko ini tidak seharusnya ditanggung penduduk setempat yang mematuhi peraturan, sedangkan keselamatan kawasan kejiranan bergantung pada tahap pematuhan setiap pemilik dan penghuni premis.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan agensi berkaitan perlu memastikan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara berkesan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Pekerja asing berhak mendapat tempat tinggal yang selamat dan bermaruah. Pada masa sama, penduduk setempat juga berhak menikmati persekitaran kediaman yang selamat tanpa terdedah kepada risiko akibat ketidakpatuhan pihak lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!