'Saya sempat bertemu arwah awal Ramadan'- Exco Pahang

SHAH ALAM – Kejadian lima sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi Khamis turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang berkata, khabar duka itu lebih menyentuh perasaannya kerana pernah berkesempatan menemui salah seorang mangsa, Allahyarham Mohd Alawi Muhammad, sebelum ini.
“Pilu dan sedih pagi ini setelah mendapat perkhabaran lima sekeluarga terkorban dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
“Saya terus ke tempat kejadian sesudah subuh tadi bagi melihat sendiri situasi sebenar. Kebakaran ini dipercayai mengorbankan Allahyarham Mohd Alawi bersama isteri dan tiga lagi anak perempuannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, dua lagi anak mangsa iaitu Ahmad Balia Murqam yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dan Ruby Adalia Balqis yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang, tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
“Kebetulan, saya baru bersua dengan Allahyarham Alawi pada hari pertama Ramadan baru-baru ini.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh ALLAH SWT untuk menempuh ujian yang cukup besar ini,” katanya.
Terdahulu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kemusnahan struktur rumah adalah 100 peratus dan turut terbakar tiga kereta serta tiga motosikal.
Ringkasan AI
- Lima sekeluarga terkorban dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong
- ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal, merasa pilu dengan kejadian tersebut
- Kebakaran dipercayai meragut nyawa Mohd Awi bersama isteri dan tiga anak perempuannya
- Dua anak mangsa yang lain tidak berada di rumah ketika kejadian
- Struktur rumah musnah 100 peratus termasuk tiga kereta dan tiga motosikal terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
