Pemuda UMNO Pekan desak tindakan tegas isu hina Nabi dan agama ketika Ramadan

KUANTAN - Pemuda UMNO Pekan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung kenyataan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam dalam bulan Ramadan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh, profesional dan tanpa kompromi.
Menurutnya, tindakan perlu diambil agar menjadi pengajaran kepada pihak lain, dalam masa yang sama sebagai langkah mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.
"Kami menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, antaranya Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan atau permusuhan atas alasan agama.
"Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang menyentuh penghinaan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan jelik, lucah, palsu atau mengancam," katanya pada Selasa.
Terdahulu, tular satu hantaran di laman sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki menggesa orang ramai berhujah menggunakan fakta dan rujukan bagi mengekalkan etika perbincangan yang sihat.
Menerusi hantaran yang disematkan (pinned) pada profilnya, individu itu menegaskan bahawa penggunaan kata makian dan hinaan hanya membuang masa serta tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
Namun, lelaki berkenaan kemudian dikesan beralih daripada menyeru perbincangan sihat kepada memuat naik status provokatif dengan kata-kata kesat, sekali gus menimbulkan reaksi kurang selesa dalam kalangan warga maya.
Mohd Fakhrul Akhmal berkata, perbuatan tersebut adalah satu tindakan yang biadab dan melampaui batas kebebasan bersuara.
Tegasnya, ia juga bakal mencetuskan ketegangan antara agama serta mengganggu ketenteraman awam.
"Kami kesal, kecewa, marah dan bimbang dengan tindakan tersebut," ujarnya.
Menurutnya, Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana perkara melibatkan 3R iaitu agama, raja dan kaum.
"Kami juga menyeru masyarakat agar bertenang, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak menurut lunas undang-undang.
"Keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama. Menghormati agama dan kepercayaan orang lain bukan pilihan, tetapi satu kewajipan di Malaysia sejak dahulu, kini dan selamanya," katanya.
Ringkasan AI
- Pemuda UMNO Pekan mendesak tindakan segera terhadap pelajar yang hina Nabi Muhammad dan Islam
- Siasatan menyeluruh dan profesional tanpa kompromi perlu dilakukan
- Tindakan diambil untuk pengajaran dan mengelakkan ulangan peristiwa serupa
- Boleh disiasat di bawah undang-undang seperti Seksyen 298A dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- Kesal dan bimbang dengan tindakan yang mencetuskan ketegangan antara agama dan mengganggu ketenteraman awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

