Kontraktor, Eksekutif Teknikal direman buat tuntutan palsu

Salah seorang suspek di bawa pegawai SPRM
Salah seorang suspek di bawa pegawai SPRM
A
A
A

IPOH - Seorang Eksekutif Teknikal, Felda Investment Corpration (FIC) dan kontraktor direman selepas dipercayai bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai RM137,900.

Perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek berusia 35 dan 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibawa ke Mahkamah Majistret dengan diiringi pegawai SPRM sekitar jam 11.30 pagi.

Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh di Felda Trolak Selatan Sungkai, Perak.

Sementara itu Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi individu berpangkat penolong pengarah, di ibu pejabat Felda hari ini dan akan direman esok.

Tambahnya, pihaknya akan menahan seorang lagi individu iaitu Pegawai Kanan Felda Trolak bagi membolehkan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja-kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja-kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka Felda Trolak Selatan, Sungkai.

"Tuntutan palsu ini dibuat sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spsifikasi 'Bill Of Quantity' yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tender bernilai RM137,900," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi esok pihak SPRM akan membuat permohonan reman terhadap dua lagi individu iaitu yang berjawatan penolong pengarah dan juga Pegawai Kanan Felda Trolak di Mahkamah Majistret Ipoh.