Penjana 2.0: Pemilik syarikat direman kemuka tuntutan palsu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemilik syarikat agensi pekerjaan direman dua hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM370,000 sekitar 2020 dan 2021.

Kes itu membabitkan tuntutan palsu secara dalam talian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan bayaran insentif pengambilan pekerja di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana 2.0).

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Individu berusia 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor di sini, tengah hari semalam ketika hadir memberikan keterangan.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 471 kanun Keseksaan iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen. - Bernama