Lima beranak maut kebakaran: NGO guna dana wakaf liang lahad

Kos liang lahad bagi semua jenazah akan ditanggung oleh UKVJ menggunakan dana wakaf yang telah diamanahkan.
Kos liang lahad bagi semua jenazah akan ditanggung oleh UKVJ menggunakan dana wakaf yang telah diamanahkan.
A
A
A

RAUB - Kos liang lahad bagi lima mangsa yang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi Khamis akan ditanggung menggunakan dana wakaf liang lahad.

Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook.

“Insya-ALLAH, pasukan UKVJ dan Persatuan Van Jenazah Gua Musang (VJGM) akan menguruskan sepenuhnya jenazah lima mangsa kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di Raub, Pahang.

“Jenazah akan diuruskan selepas proses bedah siasat oleh pihak forensik selesai. Semoga urusan pasukan yang diberi amanah dipermudahkan,” kongsinya.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan kelima-lima mangsa, iaitu Mohd Alawi Muhammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

“Kos liang lahad bagi semua jenazah akan ditanggung oleh UKVJ menggunakan dana wakaf liang lahad yang telah diamanahkan,” tambah beliau.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.40 pagi melalui panggilan anggota Pondok Polis Pamah Kulat.

Susulan itu katanya, pihaknya bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian sebelum kesemua mangsa disahkan meninggal dunia.

Beliau memaklumkan dua lagi anak mangsa terselamat kerana ketika kejadian berlaku, mereka tiada di rumah.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Kos liang lahad untuk lima mangsa kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, akan ditanggung oleh dana wakaf liang lahad
  • Pengurusan jenazah akan dilakukan oleh Unit Khas Van Jenazah dan Persatuan Van Jenazah Gua Musang setelah proses bedah siasat selesai
  • Mohd Alawi Mohammad, Zaleha Adam @ Ibrahim, dan ketiga-tiga anak mereka, Ruby Adira Batrisya, Ruby Adlina Banin, Ruby Azyan Barizah, merupakan mangsa kebakaran
  • Pihak polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan kebakaran pada jam 3.40 pagi
  • Dua anak mangsa lain terselamat karena tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!