Anwar tokoh Muslim ke-13 paling berpengaruh di dunia

Anwar disenaraikan pada kedudukan ke-13 dalam senarai 50 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia menerusi buku The World's 500 Most Influential Muslims edisi 2027 terbitan RISSC, Jordan.
Anwar disenaraikan pada kedudukan ke-13 dalam senarai 50 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia menerusi buku The World's 500 Most Influential Muslims edisi 2027 terbitan RISSC, Jordan.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-13 dunia menerusi edisi 2027 buku The World's 500 Most Influential Muslims terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC), Jordan.

Nama Anwar tersenarai dalam kelompok 50 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia yang diberikan kedudukan mengikut ranking berdasarkan pengaruh masing-masing terhadap masyarakat Islam dan dunia.

Berdasarkan senarai yang diterbitkan, Anwar berada di belakang Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang menduduki tempat ke-12.

Senarai berkenaan turut menampilkan beberapa pemimpin dunia Islam lain termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, yang berada di kedudukan pertama.

Turut berada dalam kelompok 10 teratas ialah Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Ketua Turus Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Sayyid Mojtaba Khamenei; Raja Jordan, Raja Abdullah II; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani serta beberapa tokoh agama Islam terkemuka.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berada di kedudukan ke-16, manakala Perdana Menteri Malaysia itu menjadi antara pemimpin Asia Tenggara yang tersenarai dalam kelompok 50 berkenaan.

Penerbitan edisi ke-18 itu menghimpunkan 500 tokoh Muslim dari seluruh dunia yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 50 individu teratas yang disusun mengikut kedudukan dan 450 tokoh lain mengikut kategori pengaruh masing-masing.

RISSC menjelaskan, penilaian pengaruh dibuat berdasarkan gabungan beberapa aspek termasuk impak sosial, pandangan masyarakat, penilaian pakar serta sumbangan jangka panjang individu berkenaan.

Antara 13 kategori yang dinilai ialah kepimpinan politik, pentadbiran hal ehwal agama, ilmuwan, pendakwah dan pembimbing spiritual, kebajikan, isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya serta media.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!