[VIDEO] Suspek tembak kereta Komander AKPS ditahan kurang 24 jam - Saifuddin

A
A
A

KUALA LUMPUR - Suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Rabu berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

Laporan Sinar Harian berhubung kes tembak melibatkan Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Rabu.
Laporan Sinar Harian berhubung kes tembak melibatkan Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Rabu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses soal siasat terhadap suspek sedang dilakukan ketika ini.

"Ini merupakan satu insiden yang amat kita kesali, tetapi kita bersyukur kerana komander AKPS selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh. Tembakan hanya kena pada kenderaan beliau,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) tentang isu keselamatan pegawai penguat kuasa di sempadan susulan insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam.

Pada Khamis, kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Dua suspek menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan di sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jaminan keselamatan sempadan kekal menjadi keutamaan kerajaan memandangkan agensi yang bertugas di pintu masuk negara berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan senjata, dadah dan manusia serta jenayah terancang. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Suspek tembakan terhadap kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam ditahan kurang dari 24 jam
  • Proses soal siasat ke atas suspek sedang dilakukan
  • Tembakan terjadi ketika Komander AKPS hendak solat Subuh, hanya kenderaan yang terkena
  • Kereta Proton X70 yang dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dua das tembakan oleh dua suspek naik motosikal
  • Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman keselamatan di sempadan negara, keselamatan sempadan menjadi keutamaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!